Susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ke Pekan Tajau sememangnya wajar diwujudkan seiring cadangan pembinaan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (LCRL) di Daerah Maran, di sini.
Adun Chenor, Dato' Mohamed Arifin Awang Ismail berkata, perkara ini sudah beberapa kali diusulkan sejak beberapa tahun dahulu dan berharap ia diambil kira pada masa ini.
Menurutnya, ini kerana pembinaan LCRL sudah tentu semakin menyemarakkan lagi pertumbuhan industri setempat yang mana pembangunan infrastruktur adalah penting untuk kemajuan ekonomi Wilayah Pantai Timur.
"Sejak beberapa tahun dahulu isu ini hangat diperkatakan. Malah saya dan beberapa wakil rakyat turut mengusulkan perkara ini di dalam mesyuarat bahagian. Sekali lagi, apabila pembinaan LCRL akan dilakukan, saya kira amat tepat untuk kerajaan mempertimbangkan pembinaan susur keluar LPT ke Pekan Tajau yang menjadi permintaan rakyat sejak awal lagi.
"Kapasiti kenderaan yang melalui jalan ini semakin meningkat saban hari. Lebih besar jumlahnya berbanding yang melalui susur keluar Plaza Tol Seri Jaya. Ini kerana di kawasan sekitar seperti Bandar Jengka telah wujud pembangunan pelbagai infrastrukur serta industri.
"Susur keluar ini adalah bagi kemudahan penduduk sekitar Felda Jengka 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, Ulu Jempul, Kampung Sentosa, Pekan Tajau, Pejing, Bukit Chempedak, Sungai Ling, Paya Pasir dan kampung-kampung sekitarnya pulang ke destinasi masing-masing dalam jangka masa singkat," katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia 2017 Peringkat Daerah Maran Anjuran MPWK Parlimen Maran.
Hafir sama, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Rosni Zahari yang juga, Ketua Penerangan Wanita Umno Malaysia.
Beliau berkata, pada masa ini, jarak lokasi yang jauh dari dua tol iaitu Chenor dan Maran bagi penduduk sekitar Pekan Tajau merupakan satu keperluan untuk mewujudkan satu lagi susur keluar bagi penduduk di kawasan ini.
Ini kerana katanya bagi pengguna dari arah Kuala Lumpur, mereka perlu turun melalui Plaza Tol Chenor, melalui Kampung Awah, Chenor dan Paya Pasir dengan laluan sejauh 30 hingga 40 kilometer (km) baharulah sampai ke jalan Pekan Tajau - Jengka 5.
Adun Chenor, Dato' Mohamed Arifin (dua kiri) merasmikan Majlis Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia 2017 Peringkat Daerah Maran.
"Jika turun di Plaza Tol Maran, pengguna perlu berpatah balik Melalui bandar Maran, Kampung Sentosa ke Pekan Tajau dengan jarak kira-kira 15 km. Dan bagi yang datang dari arah Kuantan mereka perlu melalui plaza Tol Maran. Jarak yang jauh dari kedua dua arah, sedangkan ia boleh disingkatkan dengan membina susur baharu Pekan Tajau," katanya.
Beliau selanjutnya berkata, cadangan ini wajar kerana di Bandar Jengka sendiri sudah membangun dengan pelbagai pejabat jabatan kerajaan, Stadium Tun Abdul Razak (Star) Hospital Jengka dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta matrikulasi, ditambah pula dengan pembinaan stesen keretapi nanti.
Justeru, susur keluar dari LPT ke laluan Pekan Tajau adalah amat perlu dan penting untuk kemudahan serta keselesaan rakyat pada masa kini dan akan datang.
"Dengan adanya susur keluar ke Pekan Tajau kenderaan tidak perlu berpusing dan kemudian berpatah balik ke laluan yang berdekatan dengan lebuh raya untuk menuju destinasi masing masing. Terutamanya pada musim puncak seperti perayaan, sambutan majlis konvokesyen serta perlawatan bola sepak di Star yang mengundang ribuan pengguna jalan raya ke daerah ini," katanya.