Laporan RCI forex tempang tanpa perbahasan Parlimen infomalay12.blogspot.com

PEMBENTANGAN dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal forex harus diambil sebagai satu usaha yang baik daripada pihak kerajaan. Tetapi, dengan hanya  mengemukakan laporan siasatan dan rekomendasi daripada suruhanjaya tersebut, tanpa perbahasan di Parlimen, ia memperlihatkan suatu langkah politik kerajaan Barisan Nasional (BN) sahaja.
Tiada sebab kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak enggan membahaskan laporan RCI di Parlimen. Penubuhan siasatan diraja itu dimulakan oleh jemaah menteri dan sudah menjadi tanggungjawab menteri kabinet mengikut Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan untuk menjawab segala bukti dan keputusan laporan tersebut di hadapan ahli Parlimen.
Agak menarik apabila skandal forex yang berlaku 25 tahun lalu siasatannya berjaya disiapkan oleh ahli RCI dalam tempoh dua bulan bermula daripada 21 Ogos 2017 hingga ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober 2017.
Ahli Parlimen dan orang awam kebingungan akan kelewatan membentangkan laporan RCI di Parlimen, yakni pada hari terakhir Dewan Rakyat bersidang.
Jika benar niat kerajaan BN untuk mencari kebenaran dan kesahihan menyelesaikan isu skandal ini, mengapa tidak membentangkannya awal, pada hari pertama sidang Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2017, dua minggu selepas laporan ini diserahkan kepada Agong.
Pendirian Pandikar Amin Mulia tentunya merupakan pendirian pihak kerajaan BN. Peraturan mesyuarat hanya membenarkan kerajaan diberikan kuasa untuk menyusun agenda mesyuarat. Alasan tidak ada usul itu hanya helah taktikal untuk melenyapkan laporan RCI itu daripada dibahaskan.
Terdapat dua langkah kerajaan yang jelas mengelak daripada membahaskan laporan RCI forex. Pertama, kerajaan sendiri tidak membuat usul untuk membahaskannya seperti yang diberitahu oleh Pandikar. Jelas kerajaan BN tidak mempunyai kesanggupan membahaskan laporan RCI forex untuk ahli Parlimen.
Kedua, Kertas Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 30 November 2017, di bahagian risalah-risalah yang yang dibawa ke dalam mesyuarat Dewan Rakyat tidak menyenaraikan Laporan Siasatan Diraja Forex walhal ia dibawa masuk pada hari yang sama.
Kerajaan BN sepatutnya tidak perlu gusar sekiranya RCI skandal forex ini dapat dibahaskan kerana mereka mempunyai kelebihan untuk mengemukakan bukti salah laku dalam laporan tersebut.
Agak menghairankan kerajaan BN masih enggan membahaskan laporan forex walaupun memegang pelbagai kelebihan dan hujah.
Kegagalan isu forex dibahaskan di Parlimen bukanlah pertama kali berlaku di Dewan Rakyat. Kerajaan BN juga gagal membahaskan RCI isu pendatang asing Sabah pada 2014, malah meleret sehingga hari ini.
Justeru, apakah manfaat yang rakyat perolehi daripada setiap helaian muka surat laporan RCI yang dibawa oleh kerajaan tetapi tidak dibuka untuk membahaskannya?
Parlimen ruang bahas masalah negara
Tindakan kerajaan BN yang enggan membahaskan laporan RCI forex ini telah mencabar sekali lagi erti sebenar fungsi Parlimen. Salleh Abbas dalam bukunya "Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia" menyebut: “Mengadakan perbahasan dengan bebasnya adalah satu hak yang amat mustahak, kerana demokrasi tidak akan terpelihara jika anggota-anggota dewan Parlimen itu tidak berhak bersuara dan memberikan pendapatnya tentang sesuatu perkara yang sedang dibahaskan”.
Jemaah menteri yang mempunyai kuasa mengawal parlimen seharusnya memberi kesaksamaan kepada ahli Parlimen membahaskan laporan RCI ini seadilnya. Sikap menteri yang melengahkan sesuatu isu negara untuk dibahas akan memberi impak kepada masa depan negara.
Salleh Abbas pernah menyuarakan kebimbangan ini iaitu: “Jika Parlimen hanya membuat undang-undang untuk menyerah atau mewakilkan kuasa kepada seseorang menteri atau sesuatu perbadanan untuk membuat undang-undang dengan tidak sedikit pun dikenakan had atau batasan, ini bermakna ketinggian Parlimen itu akan binasa, dan kebebasan rakyat dan hak-hak asasi akan hilang.”
Demi menghormati ketinggian letaknya fungsi parlimen, maka Najib harus memanggil satu sidang khas Parlimen untuk membahaskan dapatan RCI tersebut.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :