Di sebalik dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan kerugian sebanyak RM31 bilion dalam urusniaga forex kira-kira 30 tahun lalu, Tun Mahathir Mohamad mendakwa, kerugian di bawah kepimpinan Najib Razak sebenarnya jauh lebih besar.
Untuk mengukuhkan nilai ringgit ketika itu, tambah Tun Mahathir, Bank Negara telah cuba memasuki pasaran dan membeli ringgit sebanyak mungkin menggunakan dolar secara berkali-kali, tetapi ia akhirnya gagal dan mengalami kerugian kerana nilai dollar terus meningkat.
Dan kerugian sehingga RM160 bilion itu berlaku ketika negara dipimpin oleh Najib, jelas beliau.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kerugian itu dicatatkan berdasarkan nilai rizab Bank Negara yang menyusut sebanyak AS$39.6 bilion pada tahun 2015 berbanding 2013.
Pada tahun 2013, rizab Bank Negara dicatatkan sebanyak AS$134.97 bilion dan ia menurun kepada AS$95.3 bilion pada 2015 yang bermakna berlaku penyusutan sebanyak AS$39.6 bilion atau kira-kira RM160 bilion.
Jika kerugian sebanyak RM31 bilion yang berlaku 30 tahun membuatkan Najib terkejar-kejar mewujudkan RCI untuk menyiasatnya, bagaimana pula dengan kehilangan yang jauh lebih besar iaitu RM160 bilion di era kepimpinannya sendiri?
Adakah berbeza kedua-duanya?
Sediakah Najib menubuhkan RCI juga atau dengan penuh bermaruah sebagai pahlawan Bugis, beliau sanggup memikul beban pertanggungjawabannya?