[JENGKA] NISAN BATU SUNGAI JADI PILIHAN infomalay12.blogspot.com


Nisan batu sungai jadi pilihan


Batu sungai yang digunakan secara meluas pada zaman dahulu sebagai batu nisan dilihat kini masih mempunyai tempat di hati masyarakat terutama bagi menyempurnakan hasrat si mati.

Malah batu nisan kubur yang didakwa menjadi pilihan penduduk di Felda Wilayah Jengka di sini turut mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di dalam dan negeri ini hingga mencecah tempahan puluhan unit sebulan.

Pengusahanya, Mohamad Rafi Ekramuddin berkata, ia berikutan penggunaan batu sungai sebagai nisan amat digalakkan dalam Islam kerana ia bersifat ‘hidup’ dan semulajadi berbanding yang diperbuat daripada simen atau marmar.

“Kebanyakan pelanggan lebih menggemari batu sungai sebagai nisan atas faktor ia terbentuk secara semula jadi, cantik, tahan lama dan lasak.

“Secara puratanya, saya terima tempahan 15 pasang bagi tempoh sebulan,” katanya ketika ditemui di kilang nya di Felda Jengka 15, di sini, semalam.

Mohamad Rafi membantu pekerjanya menyiapkan tempahan kepok kubur.


Mohamad Rafi berkata, batu sungai mempunyai bentuk dan warna berbeza menyebabkan sukar untuk memperoleh dua atau sepasang batu yang sama berbanding batu nisan biasa berikutan pengusaha boleh membuatnya sendiri menggunakan acuan ataupun mesin.

“Tidak semua pasangan batu nisan sungai itu sama, kita akan padankan dengan batu yang seakan-akan dari segi warna, bentuk dan potongan. Disebabkan itu juga kita biarkan pelanggan memilih sendiri batu hendak dijadikan sebagai nisan

“Batu tersebut akan diperelok dan dikemaskan bagi membolehkan maklumat si mati ditulis di atas ruangan batu tersebut. Bahagian bawah nisan akan dipasangkan tapak bagi mengelakkan ia berubah-ubah tempat,” katanya.

Menurutnya, idea bagi menghasilkan nisan daripada batu sungai ini muncul ketika saya berkunjung ke Perak dan kemudian melihat batu sungai menjadi pilihan penduduk.

“Batu sungai berwarna coklat keperangan mempunyai ciri fizikal berbeza sama ada berbentuk bulat, lonjong mahupun leper dan memiliki berat sekurang-kurangnya 15 kilogram setiap satu.

“Bekalan yang terhad menjadikan nilai batu nisan sungai semakin tinggi dan menjadi pilihan pelanggan atas faktor semula jadi serta tidak terlalu menonjol untuk perkuburan,” katanya.

Mohamad Rafi berkata, harga bagi nisan jenis ini adalah bermula dari RM180 sepasang termasuk upah ukiran seperti batu bersurat dan siap dalam tempoh beberapa hari bergantung kepada stok serta jumlah tempahan pada satu-satu masa.

“Selain batu nisan sungai dan batu nisan biasa, kilang saya turut menghasilkan serta membekalkan kepok kubur pelbagai jenis,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: