Dr Mahathir, Anwar jelas jadi sasaran RCI forex infomalay12.blogspot.com

LAPORAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) tidak boleh dianggap serius kerana ia jelas ditubuhkan untuk menyasarkan pemimpin pembangkang Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
Aktivis sosial mengatakan laporan RCI itu adalah palsu, dan mengulangi gesaan agar kerajaan memberi tumpuan kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukannya kerugian forex yang berlaku 30 tahun lalu.
Presiden Lawyers for Liberty, Eric Paulsen berkata RCI sebagai sebuah institusi telah tercemar susulan tindakan ahli panel yang secara jelas tergesa-gesa menunding jari kepada pihak lawan politik kerajaan kerana salah laku.
"Tiada orang waras akan mengambil serius laporan ini kerana ia jelas bermotifkan politik untuk menyalahkan Dr Mahathir dan Anwar; skandal yang berlaku lebih 25 tahun lalu," kata Paulsen kepada The Malaysian Insight.
"Biasanya RCI diadakan tidak lama selepas skandal besar seperti runtuhan terminal feri Pulau Pinang pada 1988, atau kejadian mata lebam Anwar pada 1999.
"Tetapi kenapa sekarang ada siasatan mengenai skandal setelah lebih 25 tahun berlalu, selain mempunyai motif tersembunyi?"
RCI ditubuhkan untuk mencari kebenaran di sebalik kerugian BNM sebanyak RM31.5 bilion disebabkan forex antara 1992 dan 1994.
Laporan suruhanjaya yang dibentangkan di Parlimen semalam, menyalahkan bekas penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop dan juga mengaitkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir dan Anwar, yang merupakan menteri kewangan pada masa itu.
RCI mencadangkan agar polis melancarkan siasatan terhadap Dr Mahathir, Anwar, lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.
Dalam tindak balas segera berhubung laporan itu, setiausaha RCI membuat laporan polis berhubung syor suruhanjaya itu.
Dr Mahathir dan Anwar kini mengetuai pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang mensasarkan  untuk menumbangkan Perdana Menteri Najib Razak pada pilihan raya umum akan datang.
Paulsen berkata RCI jelas terburu-buru kerana hanya mengambil tempoh sembilan hari untuk diselesaikan, tidak seperti RCI lain.
"Bukti dokumentasi yang sangat sedikit juga dikemukakan, yang agak luar biasa bagi transaksi melibatkan berbilion ringgit, tetapi sebaliknya (panel RCI) hanya bergantung kepada memori individu yang terlibat pada masa itu.
"Sejauh mana boleh dipercayai (saksi) mereka selepas lebih 25 tahun, dan terutamanya jika hanya beberapa dokumen diperiksa untuk memeriksa apa yang mereka katakan?
"Jika kerajaan serius menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa di sini dan sekarang, skandal terbesar di negara ini ialah 1MDB," katanya.
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata ia jelas bermotifkan politik sejak permulaan penubuhan RCI.
"Kami mempersoalkan kebenaran dan ketepatannya. Skandal forex mengaburi kecurian besar dana awam, ketamakan dan nepotisme tidak tahu malu melalui skandal 1MDB.
"Kita tidak boleh menunggu lagi untuk RCI mengenai perkara ini (1MDB)," katanya.
Gabriel juga mengatakan jika Nor Mohamed Yakcop melakukan kesalahan berat seperti itu, beliau sepatutnya dihukum lebih awal dan bukan 30 tahun kemudian.
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata sejak permulaan penubuhan RCI, jelas ia disasarkan untuk mendakwa Dr Mahathir dan Anwar.
"Ini pastinya usaha untuk menghentikannya. Tiada minat untuk mencari keadilan atau cubaan mengetahui tentang kerugian," katanya.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: