Dr M gesa Anwar dibebaskan dari penjara infomalay12.blogspot.com

Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru agar bekas musuh politiknya yang kini menjadi sekutu politik beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera dibebaskan daripada penjara.
Bekas perdana menteri itu membuat gesaan itu dalam satu kenyataan bersama dengan peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley.
Hampir dua dekad lalu, Anwar mendakwa Mahathir mengatur konspirasi politik terhadapnya apabila menuduh bekas timbalan perdana menteri itu terlibat dalam salah laku seksual.
Mahathir sebaliknya mendakwa Anwar tidak memiliki moral untuk memimpin negara.
Anwar kini sekali lagi menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat 2 - juga didakwanya adalah konspirasi politik - kali ini di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, Mahathir yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) menganggap Anwar sebagai tahanan politik dan telah menjalani hukuman penjara lebih 34 bulan.
Motley kini berada di Kuala Lumpur dan mengadakan pertemuan dengan Mahathir bagi membincangkan situasi semasa Anwar.
"Kami mengadakan pertemuan yang baik semalam. Kami bersama-sama bersetuju Anwar harus segera dibebaskan dari penjara. Beliau kini berada di hospital menjalani rawatan perubatan jangka panjang.
"Anwar adalah tahanan politik dan telah menanggung hukuman penjara lebih daripada 34 bulan.
"Dia dijadualkan untuk dibebaskan pada bulan Jun 2018 dan keadaan kesihatannya sekarang menjadi kebimbangan kepada keluarganya, rakan-rakan dan individu di seluruh dunia," kata mereka dalam kenyataan bersama petang ini.
Mahathir dan Motley berkata, Anwar, 70 yang digelar mereka sebagai "banduan hati nurani", memerlukan rawatan namun terhalang kerana penahanannya.
"Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan permintaan kami dengan serius dan demi keadilan dan hubungan antarabangsa Malaysia," tambah mereka.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :