Bersatu hari ini umum keputusan untuk memutuskan rundingan dengan Pas kerana parti itu kelihatan mesra Umno sejak kebelakangan ini.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tindakan Pas menampakkan kepimpinan parti itu sendiri tiada prinsip dan tidak berpendirian.
"Mereka menyatakan mereka mahu bertanding di 100 kerusi Parlimen, tetapi suka katanya jika dapat menang 40 kerusi.
"Maksudnya Pas pun tidak akan mampu tubuh kerajaan, mereka hanya mahu jadi kuasa penentu," katanya menerusi ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Bersatu, di sini, hari ini.
Malah menurut Mukhriz lagi, Bersatu yang bersama Pakatan Harapan sanggup berdepan dengan Pas dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU nanti.
"Rundingan Bersatu dengan Pas gagal untuk mencapai kata sepakat. Pas juga menolak kita kerana kita bekerjasama dengan DAP dan Amanah," katanya lagi. - SH