SELEPAS PENGIRING BERMOTOSIKAL DAN TUKANG MASAK, APA KEWAJARAN PASUKAN UNIT TINDAKAN KHAS TUN M PULA DITARIK BALIK?
Menjadi perbualan di media sosial sejak semalam kononnya pengawal peribadi dan pasukan Unit Tindakan Khas yang mengiringi Tun Mahathir Mohamad telah ditarik balik oleh pihak kerajaan.
Semalam, pengawal peribadi atau ADC Tun Mahathir, Mazli Mazlan dilaporkan menerima arahan agar melapor diri dengan Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM yang mencetuskan spekulasi tugas beliau mengiringi bekas Perdana Menteri itu kemungkinan ditarik balik.
Di media sosial, ramai yang menulis mengenai penarikan balik tugas Mazli itu dan kebanyakannya melahirkan rasa kecewa serta bimbang berkenaan tindakan terbaru yang diambil kerajaan itu.
Ia bukan saja berkaitan faktor keselamatan Tun Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri, tetapi juga kerana Mazli dilihat begitu setia dengan beliau dan ketiadaannya mungkin menjejaskan keyakinan Tun Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk tampil di tempat-tempat awam selepas ini.
Namun, khabar tidak menggembirakan itu tidak berpanjangan di mana pagi ini Mazli dilaporkan sudah pun melapor diri kembali untuk bertugas semula sebagai pengawal peribadi Tun Mahathir.
Bagaimanapun, pasukan Unit Tindakan Khas seramai lima orang beserta sebuah kereta yang turut mengiringi Tun Mahathir ke mana-mana sebelum ini, kini dikatakan telah ditarik balik.
Bermula hari ini, atas kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri, bermakna Tun Mahathir dikatakan hanya diiringi dan dikawal oleh Mazli dan dua orang anggota polis biasa saja.
Sebelum ini, kerajaan turut menarik balik pengiring bermotosikal dan tukang masak yang sudah sekian lama berkhidmat dengan Tun Mahathir.
Dengan tindakan terbaru ini, apakah wajar sebegitu layaknya layanan yang harus diterima oleh seorang bekas Perdana Menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun membangunkan negara?
Tidakkah keselamatan Tun Mahathir selepas ini terdedah kepada pelbagai kemungkinan dengan tiada lagi pasukan UTK mengiringi dan mengawalnya?
Tidakkah juga penyediaan pengawal peribadi dan pengiring keselamatan kepada mana-mana bekas Perdana Menteri adalah sesuatu yang diluluskan di bawah Akta Parlimen?
Diharap Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun segeralah tampil memberi penjelasan berkenaan perkembangan terbaru ini dan rasional serta kewajaran tindakan tersebut diambil ketika ini. (ShahbudinHusin 01/11/2017)