Pemimpin Pakatan Harapan membidas tindakan polis menarik balik pengawal peribadi Dr Mahathir, menyifatkan langkah itu 'jengkel' dan 'koman'.
Pemimpin Pakatan Harapan hari ini membidas polis dan kerajaan kerana menarik balik pengawal peribadi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli politik DAP Datuk Zaid Ibrahim berkata polis dan perdana menteri sepatutnya menunjukkan penghormatan pada Dr Mahathir.
“Tindakan yang jengkel dan tidak patut sama sekali…tetapi tidak apa, rakyat pula yang akan menjaga beliau,” katanya kepada FMT.
“Menarik balik perkhidmatan pengawal peribadi menunjukkan demokrasi kita sangat koman,” katanya.
Zaid dan Saifuddin mengulas laporan hari ini yang melaporkan polis menarik balik pengawal peribadi yang disediakan untuk keselamatan Dr Mahathir oleh Unit Tindakan Khas (UTK).
Penarikan balik itu setahun selepas Putrajaya menamatkan kontrak tukang masak dan pembantu pejabat Dr Mahathir.
Ahli Parlimen DAP Charles Santiago berkata perkhidmatan sama yang diberikan kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, juga perlu diberikan kepada Dr Mahathir.
“Kalau perkhidmatan diberi kepada Pak Lah, maka ia perlu diberi kepada Dr Mahathir,” katanya.
Naib Presiden PKR Tian Chua berkata Dr Mahathir harus diberi pengawal peribadi memandangkan beliau pernah berkhidmat dan menyumbang kepada negara.
“Perkhidmatan itu tidak boleh dipolitikkan, dan tidak boleh ditarik balik semata-mata kerana pendirian Dr Mahathir atau perdana menteri lain.”
FMT sudah menghubungi Ketua polis Negara Tan Sri Fuzi Harun dan menunggu jawapan beliau.