“Bagaimanakah berakhirnya hero-hero dalam masyarakat Melayu?”
Perihal wira yang disebutkan beliau ini berubah-ubah penilaian umumnya, mengikut zaman dan kecenderungan kekuasaan politik.
Mereka sempat dikutuk, dituduh penderhaka, kemudian dipuji untuk dimuliakan sebagai hero.
Syukurlah, pada majlis itu Khamis minggu lalu, saya dihadiahkan buku terbaru Dr Syed Husin Ali berjudul Sejarah Rakyat (khususnya perkembangan nasionalisme) Malaysia, terbitan SIRD dan Pusat Sejarah Rakyat.
Syed Husin juga ialah pengerusi Yayasan Usman Awang.
Buku ini bersifat bacaan umum dengan gaya penyampaian mudah dan dikategorikan sebagai ’sejarah alternatif’ atau ’sejarah rakyat’ sebagai imbangan kepada ’sejarah rasmi negara’.
Dalam buku Syed Husin ini saya mendapat gambaran yang lebih jelas berhubung soalan yang dilontarkan U Wei itu.
Misalnya dalam tulisan ini, saya petik beberapa watak wira dan akhir nasib mereka sebagaimana yang dicatat dalam buku garapan salah seorang pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pada bab 3 Penjajahan dan Penentangan, merujuk perjuangan awal melawan Inggeris di Malaysia.
Berkenaan penentangan di Naning (halaman 50) penulis mencatatkan:
”Sebaliknya pihak Rembau telah belot dengan memberitahu Inggeris kelemahan Tok Naning dan bagaimana hendak mengalahkannya.
”Setelah beberapa lama menyembunyikan diri di luar Naning, Dol Said menyerah diri kepada Inggeris. Beliau disekat tinggal di Melaka, akan tetapi diberikan rumah dan pencen.”
Penentangan di Perak (halaman 57):
“Setelah dibicara Maharaja Lela, Datuk Sagor serta Seputum dihukum gantung.
”Sultan Abdullah dan beberapa orang pembesar termasuk menteri Ngah Ibrahim bersama keluarga mereka dibuang ke Seychelles. Raja Muda Ismail dibuang ke Johor.”
Penentangan di Pahang
Penentangan di Pahang (halaman 62) dicatatkan ”bahkan pegawai-pegawai Inggeris telah dapat memujuk atau membeli ramai pembesar Melayu supaya memihak kepada mereka untuk mengalahkan pejuang-pejuang ini.
”Jadi mereka berundur. Ada yang meninggal di luar negeri, akan tetapi ada juga yang berjaya kembali ke tanah air secara tersembunyi dan tinggal di kampung dengan menyamar,” tulis Syed Husin mengenang perjuangan para pembesar Pahang melawan Inggeris, merujuk tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.
Penentangan di Kelantan (halaman 66):
”Dalam pertempuran di Kampung Dalam Pupoh, Tok Janggut dikatakan terbunuh bersama ramai pengikutnya.
”Dikatakan mayatnya diseret untuk dilihat oleh ramai rakyat dan kemudian digantung kaki ke atas (songsang).”
Penentangan di Terengganu (halaman 68):
”(Datuk) Abdul Rahman (Limbong) dibicara di sebuah padang dengan disaksikan pegawai-pegawai Inggeris serta orang ramai.
”Beliau dijatuhkan hukuman buang negeri, mula-mula ke Singapura dan kemudian ke Mekah.”
Berkenaan kedudukan Inggeris di Johor, Syed Husin mencatatkan (halaman 71):
”Setelah berlaku peristiwa Sultan menolak hutang untuk membina laluan kereta api itu, gabenor Inggeris Anderson telah mendesak Sultan agar (Datuk) Abdul Rahman Andak dibersarakan dan dihantar ke London.”
Penentangan di Sabah (halaman 77):
”Perjanjian keamanan di antara Inggeris dengan Mat Salleh terancam apabila pihak kerajaan mendirikan sebuah balai polis di Tambunan.
”Beliau mendakwa tertipu kerana perjanjian yang tertulis berbeza dengan semangat persetujuan yang telah dicapai secara lisan.”
Dalam buku ini, Syed Husin mencatatkan Mat Salleh akhirnya diserang Inggeris dan pada 31 Jun 1900 beliau ditembak mati.
Berikutnya bab 4 buku ini menyorot nasionalisme Malaysia ketika hendak mencapai kemerdekaan.
Liku-liku perjuangan kiri
Ditulis juga perjuangan penuh liku dan ketabahan golongan kiri khususnya peranan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) dalam menuntut kemerdekaan.
Dalam menulis ’sejarah alternatif’ ini, Syed Husin tidak mengesampingkan fakta perjuangan melawan Malayan Union dan penubuhan Umno serta kepimpinan Datuk Onn Jaafar, di samping kemudiannya peranan Tunku Abdul Rahman dalam mencapai kemerdekaan tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963.
Read More / Baca Lagi >>