Rakyat harus yakin dengan landasan kemajuan negara pimpinan beliau dan tidak termakan hasutan pihak tertentu yang memburukkan kerajaan.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, hanya segelintir pihak dalam negara yang tidak menghormati kerajaan sedangkan kebanyakan pemimpin negara luar begitu menghormati Malaysia.
Najib berkata, sehubungan itu rakyat harus yakin dengan landasan kemajuan negara pimpinan beliau dan tidak termakan hasutan pihak tertentu yang memburukkan kerajaan.
“Tak payah pandang kiri, tak payah pandang kanan, tak payah termakan janji apatah lagi hasutan kebencian yang dibawa pihak berkenaan.
“Pegang bertaut kepada apa yang ada hari ini, kita akan bawa ke masa depan, nama Malaysia harum di persada antarabangsa,” kata Najib ketika merasmikan Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka hari ini.
Tambahnya, masa hadapan rakyat juga berada dalam keadaan yang terbaik di bawah pentadbirannya .
“Kita yang pentingnya kita boleh ubah minda rakyat. Kita bukan sahaja beri kemudahan tapi lebih dari itu boleh mengubah minda rakyat.
“Rakyat boleh berasa optimis, yakin bahawa masa depan mereka berada dalam tangan mereka yang mampu membawa mereka jauh ke hadapan sebagai sebuah kerajaan.
“Pendek kata, ‘your future is in good hands’,” kata Najib.
Menurutnya, Malaysia kini dipandang tinggi di luar negara.
“Saya baru balik Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), dan Asean. Malaysia berjaya di persada antarabangsa kerana kita berjaya, bukan boleh diperlekehkan oleh sesiapa.
“Pemimpin dunia menghormati kita. Presiden China, Amerika Syarikat, perdana menteri lain semua menghormati kita.
“Yang tak hormat kita hanya satu dua ekor sahaja dalam negara,” kata Najib lagi.