Di belakang Najib ada UMNO serta BN dan di belakang Tun Mahathir ada Bersatu serta Pakatan Harapan.
Di bahu Najib terpikul isu-isu seperti 1MDB, Jho Low, Rosmah Mansor, GST, pelaburan China, kedudukan ekonomi, kos sara hidup dan ribuan beban yang lain.
Di bahu Tun Mahathir pula beliau sedang dibebankan untuk menjawab isu-isu lama semasa kepimpinannya dahulu seperti forex, ISA, kronisme, nepotisme, kekayaan anak-anaknya, selain berkaitan kepentingan Melayu, kedudukan DAP dan pelbagai lagi.
Walapun Tun Mahathir dan Pakatan Harapan mahu menang dalam pilihanraya akan datang, khususnya dengan tujuan untuk menyelamatkan negara daripada pelbagai kebobrokan yang sedang melanda, beliau sebaliknya tidaklah takut kepada kekalahan.
Menang atau kalah, Tun Mahathir dan Pakatan Harapan masih macam biasa saja. Beliau tetap negarawan juga.
Berbeza dengan Najib, beliau bukan saja sangat mahu menang, tetapi amat takut kepada kekalahan.
Sebaik kalah dan hilang kuasa, Najib dan segala rangkaian yang ada kaitan dengannya pasti akan berdepan dengan proses tangkapan, perbicaraan dan mungkin penjara sebagai tempat kediaman.
Tun Mahathir dan Pakatan Harapan sudah berkali-kali menjanjikan, dalam 100 hari mereka berkuasa, antara perkara yang menjadi keutamaan ialah menangkap Malaysian Official 1.
Perkara itu dengan sendirinya menimbulkan keghairahan kepada rakyat untuk memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan, selain kerana tidak sabar untuk menikmati kehidupan baru tanpa GST, tanpa tol, tidak tiap-tiap minggu dibebankan dengan kenaikan petrol dan macam-macam pembaharuan lagi.
Sebaliknya, jika BN kekal berkuasa, kebosanan sudah boleh dibayangkan kerana di samping muka Najib dan Rosmah mungkin lebih kerap muncul di TV dan tiada isu untuk memenjarakan Tun Mahathir, kadar GST, tol dan harga bawang pun pasti akan meningkat lagi harganya.
Read More / Baca Lagi >>