Malaysia adalah negara perdagangan terbesar di dunia yang menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa secara adil dan saksama.
KUALA LUMPUR: Putrajaya hari ini menafikan tuduhan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bahawa Malaysia antara negara yang penipu perdagangan dan bertanggungjawab dalam defisit perdagangan sebanyak AS$50 bilion (RM221 bilion).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia adalah negara perdagangan terbesar di dunia yang menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa secara adil dan saksama.
“Kerajaan Malaysia tidak memanipulasi mata wang atau memberi sebarang bantuan menyalahi undang-undang antarabangsa seperti ditetapkan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO),” katanya dalam jawapan kepada Ahli Parlimen Selayang, William Leong di Dewan Rakyat hari ini.
April lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menghentikan “pengimport luar yang menipu”. Di bawah perintah itu, negara yang mempunyai dagangan tidak seimbang terbesar dengan AS akan diteliti selama 90 hari sementara pentadbiran menyiasat pengeluar, penyedia perkhidmatan, petani dan pengguna untuk mengenal pasti masalah.
Selain Malaysia, negara lain yang menjadi sasaran penyiasatan Trump ialah China, Canada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Mexico, Korea Selatan, Switzerland, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Mustapa berkata, beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri sudah memberikan penjelasan kepada Trump sewaktu lawatan kerja ke AS pada 12 September lalu berhubung isu defisit perdagangan ini.
Read More / Baca Lagi >>