JPPM senyap buat PH tertanya-tanya status pendaftaran, kata Dr M infomalay12.blogspot.com

Sejak permohonan dibuat pada 24 Julai lalu, JPPM masih belum memberikan kata putus sama ada menerima atau menolak permohonan mendaftar Pakatan Harapan.
mahathirt_alkmedia_600
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tertanya-tanya mengenai status pendaftaran mereka di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) kerana jabatan itu masih belum memberikan kata putus atas permohonan mendaftar gabungan pembangkang yang mahu melawan Barisan Nasional.
Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berkata JPPM belum memberikan kata putus sejak permohonan dibuat pada 24 Julai lalu dan pemberitahuan JPPM bahawa permohonan mereka masih dalam pertimbangan 2 November lepas.
“Setakat ini kita (PH) belum dapat apa-apa reaksi daripada JPPM. Tidak ada penolakan atau penerimaan, kelulusan ataupun apa-apa,” katanya pada sidang media di Tingkat 14 Parlimen hari ini.
Dr Mahathir berkata PH bercadang untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid hari ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung pendaftaran gabungan mereka tetapi gagal.
“Menteri tidak ada di sini jadi kita tidak dapat jumpa. Kita sedia ikut kehendak JPPM. Jika ada cadangan yang tidak sesuai dan bercanggah dengan kerajaan Persekutuan, kita sedia lakukan pindaan. Itulah keadaan kita sekarang ini,” katanya.
Ditanya mengenai status mesyuarat agung PPBM, Dr Mahathir yang juga pengerusi parti berkata PPBM belum bersedia sepenuhnya untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama.
“Pada ketika ini, kami masih belum lagi menyusun sepenuhnya. Untuk adakan mesyuarat agung tahunan kita, mesyuarat dari cawangan, bahagian perlu diadakan terlebih dahulu.
“Walaupun ada ahli-ahli berdaftar tetapi ia masih belum tersusun dan ada sesetengah cawangan masih belum lagi dirangka dengan teratur,” katanya.
Namun, Dr Mahathir menjelaskan bahawa ketiadaan mesyuarat agung tahunan tidak bermakna PPBM tidak mempunyai ahli.
“Bilangan ahli itu ramai, tetapi struktur di peringkat cawangan dan bahagian masih belum siap sepenuhnya,” katanya.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :