Kuala Lumpur – Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh meramalkan Barisan Nasional (BN) berkemungkinan besar hilang penguasaan di Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), tetapi masih kekal berkuasa di Timur Malaysia, dengan majoriti lebih rendah.
Rakyat Sabah dan Sarawak jelas mahukan pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan, mematahkan dakwaan BN yang 2 negeri itu ialah deposit tetapnya, katanya lapor Free Malaysia Today.
“Perasaan mereka terhadap kerajaan persekutuan sekarang sama dengan rakyat di Semenanjung. Hampir separuh orang Melayu di Semenanjung tidak lagi menyokong BN.
“Ianya bukan persoalan sama ada rakyat Sabah dan Sarawak tidak diberikan hak oleh kerajaan persekutuan, tetapi orang di sini sudah banyak mendengar tentang perkara yang berlaku. Mereka bimbang dengan apa yang berlaku di KL.”
Kenyataan Harris sama dengan ramalan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kira-kira 2 bulan lalu.
Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan dengan bantuan Parti Warisan Sabah akan memenangi sekurang-kurangnya separuh daripada kerusi Parlimen dan negeri di Sabah.
Harris percaya ramai rakyat Sabah dan Sarawak semakin kecewa dengan kerajaan persekutuan kerana dasarnya yang dilihat berat sebelah dan diskriminasi.
Beliau memberi contoh dasar imigresen berbeza di Semenanjung dan Timur Malaysia mengenai kelulusan permohonan warga asing yang mahu berpindah ke Malaysia sebagai tempat persaraan mereka.
“Saya dengar jika orang seperti ini boleh membawa RM1 juta ke Langkawi dan Johor, maka tiada masalah. Imigresen akan benarkan mereka masuk.
“Tetapi, tidak di Sabah dan Sarawak. Ini berat sebelah. Jadi, rakyat Sabah dan Sarawak mahu kerajaan yang telus dan berterus-terang dengan sedikit atau tiada langsung publisiti negatif.” – FMT