[BERA] AIR KETUM DISANGKA AIR TEBU infomalay12.blogspot.com


Air ketum disangka air tebu


Penggunaan botol seperti botol air mineral untuk menyimpan air ketum wajar dielakkan dan perlu dijauhkan dari pandangan anak-anak.

Ketua Unit Kereta Peronda, Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti, Sub-Inspektor Muda Hassan, terdapat kes apabila kanak-kanak membawa minuman air ketum ke sekolah kerana menyangka minuman itu adalah air tebu.

Menurutnya, kelalaian ibu bapa atau orang dewasa memandang remeh perkara itu boleh memberi impak negatif kepada kanak-kanak sekiranya mereka terminum air ketum secara berlebihan.

“Jika ada menyimpan air ketum dalam botol mineral, mungkin anak-anak beranggapan itu adalah minuman mereka... ada potensi mereka tersalah ambil dan salah guna sehingga memudaratkan kesihatan dan prestasi anak-anak.

“Sedia maklum, pengambilan air ketum boleh menimbulkan gejala-gejala seperti keganasan dan permusuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Keselamatan Kanak-kanak Tabika Kemas IPD Bera, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Noriza Nordin.

Muda berkata, selain air ketum, ibu bapa juga perlu memastikan kaedah penyimpanan ubat-ubatan klinikal disimpan di tempat yang betul.

Katanya, ada ibu bapa yang menyimpan ubat di dalam peti ais yang secara tidak langsung boleh memberikan potensi kepada anak-anak untuk memakan ubat tersebut tanpa kawalan.

“Sebagai contoh, ubat batuk yang boleh memberi kesan kepada kanak-kanak. Pengambilan secara berlebihan boleh membuatkan mereka khayal sebagaimana mereka yang menghidu gam secara berlebihan atau pengambilan dadah.

“Sebab itu ibu bapa kena peka dalam hal-hal seumpama ini dan tidak memandang remeh terutamanya berkaitan perkara yang menyalahi undang-undang negara,” katanya.


Subscribe to receive free email updates: