Perkara paling mungkin akan berlaku serta sukar dielakkan dalam kes saman Presiden Pas, Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clate Rewcastle-Brown ialah perlunya kehadiran Najib Razak sebagai saksi di mahkamah London.
Oleh kerana nama beliau telah dikaitkan secara langsung, bukan saja dalam isu RM90 juta yang didakwa diberikan kepada Pas, tetapi juga berkaitan RM200 juta yang dikatakan diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, keperluan Najib untuk hadir memberi keterangan tidak boleh lagi dipandang remeh.
Apatah lagi buat pertamanya kalinya, Najib semalam juga menafikan pernah memberikan wang RM90 juta itu kepada Pas.
Memandangkan kenyataan itu dibuat secara terbuka ditempat umum, maka ia perlu disahkan sekali lagi dengan Najib sendiri mesti tampil sebagai saksi di dalam mahkamah.
Jika tidak, penafian Najib itu tidak boleh diterima dan hanyalah umpama perbualan dalam sembang-sembang di kedai kopi saja.
Dengan yang demikian, untuk menentukan Najib benar-benar tidak pernah memberikan wang, sama ada dalam jumlah RM90 juta atau RM200 juta, beliau perlu mengesahkannya di mahkamah.
Dalam hal berkaitan, bukan saja peguam Clare ingin menyoal Najib dengan lebih detail, malahan tentunya peguam Hadi juga ingin berbuat perkara yang sama.
Najib pula, dalam keinginan untuk memastikan Hadi menang kes samannya terhadap Clare itu, sudah pasti sukar untuk menolak daripada menjadi saksi kerana keengganan untuk hadir secara tidak langsung memperlihatkannya tidak mahu membantu Presiden Pas itu.
Hadi sendiri tentunya amat kecewa jika Najib enggan hadir untuk memberi keterangan dan membantunya dalam perbicaraan itu.
Dah jadi kawan, adatnya tentulah Najib dan Hadi boleh saling bantu-membantu.
Apabila hadir di mahkamah London, Najib pasti bukan saja akan ditanya mengenai wang RM90 juta, tetapi juga berkenaan RM200 juta dan kaitannya dengan 1MDB.
Read More / Baca Lagi >>