Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar berkata ini kerana PAS Pahang melihat kemenangan DAP di kawasan berkenaan adalah atas sokongan pengundi PAS.
“Apabila berlakunya perpecahan dalam pakatan pembangkang, kita yakin DAP hanya mampu mempertahankan paling banyak tiga kerusi (daripada tujuh yang disandang) pada PRU nanti.
“Yang lain kita jangka hilang sebab kawasan-kawasan itu mereka menang dengan majoriti kecil bawah 100 undi dan antara 1,000 dan 2,000 undi yang kita yakin datang daripada pengundi PAS,” katanya dalam sidang media mengenai tawaran PAS Pahang pada PRU-14, di Kuantan hari ini.
Rosli berkata empat kerusi terbabit antara sekurang-kurangnya 35 kerusi DUN Pahang yang diintai PAS pada PRU-14 nanti.
Katanya PAS Pahang yakin dapat memenangi 21 daripada kerusi berkenaan.
Dalam PRU-13, DAP menang tujuh daripada 42 kerusi DUN Pahang iaitu Tanah Rata, Tras, Mentakab, Bilut, Ketari, Sabai, dan Triang sementara PAS pula memenangi tiga kawasan iaitu Tanjung Lumpur, Beserah dan Kuala Semantan.