Saya bernama Mohd Rafizi Ramli (770914-11-5025) adalah Ahli Parlimen bagi kerusi Pandan, Selangor. Dengan latar belakang sebagai seorang bekas juru audit dan akauntan bertauliah, saya selalu memberi perhatian kepada prestasi kewangan badan-badan kerajaan milik rakyat. Sejak Disember 2016, saya telah memberikan perhatian meneliti prestasi kewangan Felda dan semua syarikat yang berkait dengannya.
Saya percaya telah berlaku banyak pelanggaran undang-undang (sama ada sengaja atau tidak sengaja) yang berbentuk jenayah yang perlu disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang seperti berikut:
1. ANAK-ANAK SYARIKAT YANG MEMEGANG HARTANAH SEPERTI YANG DIISYTIHARKAN DI DALAM PENYATA KEWANGAN FELDA YANG DIAUDIT BAGI 2015 TIDAK WUJUD
- Saya merujuk kepada muka surat 293 penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015, di Nota 44(a) yang menyenaraikan semua anak-anak syarikat Felda di seluruh dunia.
- Penyata kewangan diaudit itu mengisytiharkan bahawa salah satu anak syarikat Felda di UK adalah FIC Global Ltd yang ditubuhkan di United Kingdom bagi tujuan pegangan pelaburan hartanah dan dimiliki sepenuhnya oleh Felda.
- Penyata kewangan diaudit itu (di muka surat 281, Nota 39(d)(viii)) mengisytiharkan bahawa satu pinjaman sebanyak £17.5 juta telah diambil dan dicagarkan kepada pegangan saham Felda di dalam FIC London Hotel Pvt. Ltd. (“FICLH”), anak syarikat milik penuh Felda yang memiliki Grand Plaza Kensington Hotel.
- Walau bagaimana pun, Nota 44(a) di muka surat 293 yang diwajibkan menyenarai SEMUA anak-anak syarikat Felda di seluruh dunia tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai FIC London Hotel Pvt. Ltd. (“FICLH”) ini.
- Penyata kewangan Felda yang diaudit memberi gambaran bahawa FIC London Hotel Pvt. Ltd. (“FICLH”) bukan anak syarikat Felda dan FIC Global Ltd adalah anak syarikat milik penuh Felda yang ditubuhkan di United Kingdom.
- Saya telah membuat carian di dalam Companies House di United Kingdom dan mendapati:
a) FIC Global Ltd tidak wujud sebagai syarikat yang ditubuhkan di United Kingdom, sebaliknya adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island (BVI)
b) FIC London Hotel Pvt. Ltd. tidak wujud sebagai syarikat yang ditubuhkan di United Kingdom, sebaliknya adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island (BVI)
- Penemuan ini menunjukkan berlaku jenayah apabila pengisytiharan yang dibuat di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit adalah tidak benar apabila kedua-dua buah syarikat itu sama ada tidak wujud dan/atau bukanlah milik Felda.
- Segala tindakan bermula dari keputusan pelaburan, penubuhan syarikat-syarikat, pembelian hartanah, urusan statutori dan undang-undang syarikat, penyimpanan rekod yang betul dan pengisytiharan di dalam penyata kewangan boleh disiasat di bawah pelbagai peruntukan di dalam Akta Syarikat, Kanun Keseksaan, Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan pelbagai akta yang lain.
2. HARTANAH YANG DIBELI FELDA DIDAFTARKAN HAKMILIK ATAS SYARIKAT YANG TIDAK WUJUD DAN/ATAU DIRAGUI PEMEGANG SAHAMNYA
- Dari perkara (1), saya terus menyiasat pemilikan hartanah yang dibeli oleh Felda di United Kingdom dengan menyemak geran-geran hakmilik hartanah-hartanah tersebut.
- Saya mendapati geran bagi Grand Plaza Kensington Hotel didaftarkan di atas nama FIC London Hotel Pvt. Ltd. yang tidak wujud di United Kingdom dan kewujudan serta pemilikannya di BVI diragui.
Read More / Baca Lagi >>