TIBA-TIBA `orang' itu datang menagih simpati dan menabur janji-janji baharu kepada penduduk Sarawak. Selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dahulu, apa yang dibuatnya kepada Bumi Kenyalang?
Berapa kali dia datang ke Sarawak? Datang sahajakah? Berbanding Dr. Mahathir, seterunya, Datuk Seri Najib Tun Razak ada tarikannya di Sarawak.
Kesungguhan dan kerja kerasnya untuk kebahagian rakyat Bumi Kenyalang tidak dapat disangkal.
Tidak semasa `hiruk pikuk’ kempen pilihan raya negeri itu Mei tahun lalu sahaja atau semasa pilihan raya sebelum itu lagi, kelibat Perdana Menteri sudah lama kelihatan di sana.
Malah, berulang kali sehinggakan ada pihak mula mengiranya - 43, 44, 45, 46, 47 kali dan tak terkira lagi.
Beliau tidak datang dengan tangan kosong, tetapi berisi dengan peruntukan untuk pembangunan Sarawak.
Suatu pagi selepas mengunjungi Rumah Panjang Penghulu Petrick Long Jegan di kawasan pedalaman Marudi, Miri pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri menunggu helikopternya untuk pulang ke Kuching.
Namun helikopter yang sepatutnya mengambil beliau terpaksa mendarat sementara di tempat lain.
Ini kerana sukar berbuat demikian di atas padang sekolah bertanah lembut sehinggakan tayar terbenam.
Agak lama ditunggu sebelum sebuah helikopter pengiring ‘menjalankan misi mencari’ dan akhirnya menemukan helikopter berkenaan.
Namun Najib hanya melemparkan senyuman, tidak nampak letihnya.
Di Sarawak, banyak tumpuan beliau terarah di luar bandar dan pedalaman. Dalam banyak kunjungannya ke rumah panjang, populariti beliau terserlah. Penduduk mahu berselfie dan ini tidak mampu ditolak beliau.
Penduduk gembira kerana beliau membawa banyak berita baik dalam bentuk projek pembangunan.
Bagi Najib, rakyat Sarawak perlu melihat projek lebuh raya Pan Borneo (antara berbilion ringgit projek untuk Sarawak) yang sedang dilaksanakan kini sebagai projek mereka sendiri. Bukannya sebagai projek ‘orang besar dan kontraktor besar’.
Kata Perdana Menteri waktu itu, projek tersebut bukan seperti projek mega lain yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Sebaliknya merupakan projek yang mengarusperdanakan negeri itu yang menghubungkan kawasan pedalaman dan luar bandar ke bandar.
Ini sehingga membolehkan mereka membawa hasil pertanian dari luar bandar ke pasaran secara lebih dekat lagi.
Semasa sambutan Hari Malaysia di Likas, Sabah pada 17 September lalu, Najib memberi jaminan bahawa hak Sarawak dan Sabah akan terus dipelihara dalam Persekutuan Malaysia selain memastikan rakyat kedua-dua negeri itu akan terus mendapat pembelaan sewajarnya.
Menurutnya, sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji hak orang Sabah dan Sarawak juga telah ditubuhkan bagi memastikan hak serta kepentingan kedua-dua negeri itu dipenuhi berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.
“Kita akan berunding dalam satu keluarga. Tak payahlah kita membuat slogan ‘Sabah for Sabah’, ‘Sarawak for Sarawak.’ Kita hendak ‘Sabah for Malaysia’ dan ‘Malaysia for Sabah. Dengan ini, kita (Malaysia) akan maju.
Itulah Najib, berbeza macam langit dan bumi dengan Dr. Mahathir.
Kenapa sekarang baru Dr. Mahathir terhegeh-hegeh di Sarawak?