Pelancong yang berkunjung ke daerah ini untuk menikmati masakan ikan patin kini boleh mencuba satu lagi tarikan baharu iaitu keropok gentel ikan patin.
Pengusahanya, Rohana Yahya, 45, berkata, keropok gentel ikan patin adalah adunan isi ikan patin yang dibuat mengikut tempahan pelanggan supaya rasanya kekal asli.
Menurutnya, pada mulanya dia mengadun resipi keropok lekor Terengganu dan Kelantan dan terhasillah keropok gentel Temerloh yang digoreng panas dihidangkan kepada pelanggan di kedainya dekat Jalan Temerloh Jerantut berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Temerloh.
Bagaimanapun katanya, dia kemudian mendapat idea untuk menghasilkan keropok gentel ikan patin memandangkan Temerloh adalah daerah yang mengeluarkan produk ikan patin dan dikenali di seluruh negara.
“Yang menariknya di sini, selain menawarkan keropok gentel daripada ikan laut yang berkualiti, kami juga menawarkan keropok gentel daripada ikan patin yang dibuat mengikut tempahan.
“Kami buat resipi sendiri, kandungan yang ada pada keropok gentel kami mempunyai rasa ikan yang lebih apabila kira-kira 80 peratus kandungan keropok adalah ikan.
“Di sini selain memproses dan menjual keropok rebus kita juga turut menghidangkan keropok panas yang baharu digoreng mengikut pesanan pelanggan,” katanya.
Rohana berharap, keropok gentel ikan patin dan keropok gentel Temerloh Keropok mampu mempelbagaikan lagi produk makanan di Temerloh selain ikan patin masak tempoyak.
Menurutnya, bagi memastikan mutu dan kualiti keropok berkenaan sentiasa terkawal, dia dan suaminya akan memproses keropok berkenaan bersama beberapa pekerja.
Katanya, keropok berkenaan dijual pada harga berpatutan iaitu RM1 sebatang bagi keropok rebus dan RM1.30 bagi keropok yang digoreng.
Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini perusahaan keropok pertama di Temerloh itu mendapat permintaan yang baik dan maklum balas positif daripada masyarakat.
“Alhamdulillah keropok yang diadun sendiri dengan resipi tersendiri ini mendapat maklum balas positif daripada pelanggan kerana rasanya yang enak dengan rasa ikan. Rasa keropok ini halus dan lembut,” katanya.