'Syurga dunia di atas awan', begitulah ungkapan yang terpacul tatkala penulis mula menjejak kaki di puncak Gunung kebanggan Gerik iaitu Kenderong.
Pendakian yang mengambil masa lebih dari 3 jam itu, bagai 'tiada penat lelah' tatkala kaki mula tiba di puncak Kenderong iaitu di ketinggian setinggi 1,223 meter (4,011 kaki) selepas disajikan dengan pemandangan hamparan awan karpet yang serba memutih.
"Subhanallah, Allahuakbar," teriak penulis selepas penat mendaki dan berjaya menikmati pemandangan serba memutih di hadapan mata selepas tiba di puncak.
Pendakian penulis bersama beberapa lagi rakan media tempatan yang bergerak seawal jam 3 pagi dari basecamp ternyata berbaloi selepas dapat menikmati panorama Kenderong yang serba nan indah.
Di sepanjang perjalanan kami, kami melalui laluan yang agak berbatu dan agak mencabar kerana laluannya yang agak berbatu, namun segala kelengkapan yang disediakan seperti tali membantu kami sepanjang melalui episod pendakian.
Gunung Kenderong yang terletak di Kampung Pahat Dalam, hanya mengambil masa kira-kira 15 minit dari Pekan Gerik dan mengambil masa kira-kira enam jam sekiranya dari bandar Kuala Lumpur.
Gunung Kenderong yang dikategorikan sebagai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, dan hutan Montane, sememangnya agak cabar mendaki, namun dengan semangat yang kental dan gigih sesiapa sahaja yang mendakinya akan berjaya tiba dipuncak.
Udara dingin dan menyegarkan
Setibanya di puncak anda mula merasai cuaca dan angin yang agak kuat dan sejuk, serta dari jauh kelihatan awan tebal memutih menyeliputi ruang udara Gunung Kenderong.
Suhu dipuncak sekitar 20-25 darjah Celsius menjadikan suasana di sekeliling begitu dingin dan menyegarkan.
Jadi bagi mereka yang mahu memotretkan keindahan Kenderong disarankan untuk membawa kamera untuk menyimpan kenangan terindah anda di sana!.