Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor adalah antara pemimpin UMNO dalam pentadbiran Najib Razak yang secara terbuka pernah melabelkan Pas sebagai parti sesat.
"Kalau kata Pas itu parti Islam, tapi pada saya Pas adalah parti yang mengajar ajaran sesat. Parti yang memesongkan akidah.
"Berapa masjid dan surau yang Pas bangunkan? Yang mereka tahu pecah-belah dan pesongkan akidah kita.
"Dia yang mulakan sembahyang dua imam, mengatakan sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan dan mendakwa imam yang digaji UMNO tidak sah menikahkan anak kita," ujar beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.
Itu adalah antara perkataan-perkataan yang pernah dilafazkan oleh Tengku Adnan terhadap Pas pada 2014 dahulu.
Berikutan dengannya, Pas ketika itu dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Tengku Adnan.
Namun, rasanya tiada tindakan undang-undang pernah diambil oleh Pas terhadap Tengku Adnan sehingga kini berhubung kenyataannya itu.
Lagi pun, itu cerita 2014.
Sekarang ini Tengku Adnan sudah ada pandangan berbeza mengenai Pas kerana baginya Pas sudah jadi baik dan tidak lagi sesat sebagaimana dahulu.
Malah, beliau kini mengucapkan syukur serta berkata "Alhamdulillah" kerana Pas tidak lagi bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan seterusnya menyatakan pendirian itu akan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN memenangi pilihanraya umum akan datang.
"Lebih dari itu, kita juga mengharapkan Pas dapat bekerjasama dengan kita. Itu saja harapan kita," katanya.
Lihat, pada 2014 dikatanya Pas sesat, tapi kini diharapkannya dapat bekerjasama pula dengan parti tersebut.
Dulu juga Pas pernah melabelkan UMNO sebagai kafir dan amalan politik suku, agama suku itu sebagai bertentangan dengan Islam.
Tetapi, perkembangan politik mutakhir ini menunjukkan Pas lebih condong kepada UMNO dan BN, selain pernah menyatakan tidak mahu lagi berebut kuasa dan memadai dapat menjadi penasihat saja kepada kerajaan sedia ada.
Jadi, sekarang ini siapa yang sesat, siapa yang tidak dan siapa yang kafir, siapa yang tidak?