Saya Tak Sangka Video Itu Tular Di Media Sosial. infomalay12.blogspot.com

Gambar Harian Metro
Tular - Seorang wanita yang merupakan pembantu penguat kuasa di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis tidak menyangka, video dia bercakap dalam bahasa Mandarin ketika membantu urusan dua penuntut dari Shandong, China di kaunter perkhidmatan jabatan itu petang semalam, tular di media sosial.

Menurut Laporan Harian Metro, Nur Syafiqah Azaman, 23, berkata, segalanya bermula apabila rakan sekerjanya yang merakam dia berbual dan memberi penerangan kepada dua pelajar terbabit memuat naik video itu ke laman rasmi JPJ Perlis sebelum ia dikongsikan netizen.

Katanya, ketika itu dua pelajar terbabit iaitu Sun Wen Xuan, 18, dan Zhai Qin Xing, 19, yang mendakwa menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang kewangan dan pengurusan perniagaan masing-masing, mahu membuat pertukaran nama hak milik kenderaan.

"Mereka berdua baru saja membeli sebuah kereta untuk kegunaan di negara ini. Namun, ketika berurusan di kaunter, saya perhatikan mereka tidak boleh berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris juga tersekat-sekat.

"Jadi saya terpanggil untuk membantu dan memberi sedikit penerangan mengenai prosedur yang perlu dilakukan oleh mereka termasuk di PUSPAKOM (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) dalam bahasa mandarin. Syukur mereka boleh memahaminya dengan jelas," kata gadis berasal dari Changlun, Kedah dan berdarah kacukan Cina dari sebelah ibunya ketika ditemui petang semalam.

Nur Syafiqah berkata, dia mahir berbahasa Mandarin apabila belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yit Min, Changlun selain ibunya yang berbangsa Tionghua turut mengajarnya di rumah sejak kecil.

"Ibu saya memang seratus peratus berbangsa Cina dan kini seorang tukang jahit di Changlun. Ibu memang banyak mengajar saya bercakap bahasa Mandarin," katanya.

Sementara itu, rakaman video berdurasi satu minit 37 saat yang tular di aplikasi 'WhatsApp' dan Facebook itu jelas menunjukkan kepetahan Nur Syafiqah berbahasa Mandarin membantu dua pelajar terbabit.

Sementara itu, Pengarah JPJ Perlis, Shahrul Azhar Md Dali berkata, kehadiran Nur Syafiqah di JPJ Perlis adalah satu penghargaan dan kelebihan kepada jabatan itu.

"Mempunyai kakitangan seperti beliau (Nur Syafiqah) satu kelebihan kepada JPJ memandangkan kita berurusan dengan semua bangsa dalam negara ini.

"Saya juga menggalakkan setiap kakitangan khususnya di bahagian perkhidmatan pelanggan untuk menguasai bahasa ketiga sedia ada dalam negara,"jelasnya.-Harian Metro

Subscribe to receive free email updates: