[ROMPIN] PERLU DANA RM2.8 JUTA BINA RUMAH NUR IMAN infomalay12.blogspot.com


Perlu dana RM2.8 juta bina Rumah Nur Iman Rompin



Rumah Anak Yatim dan Miskin Nur Iman Cawangan Rompin memerlukan dana kira-kira RM2.8 juta bagi membina sebuah kompleks yang boleh menempatkan 300 penghuni.

Bangunan yang bakal dibina atas tanah wakaf di Kampung Tanjung Pahang itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan diberi nama Kompleks Rumah Nur Iman Rompin.

Pengurusnya, Mohd Saifudien Rusdi, berkata, tujuan pembinaan kompleks itu adalah disebabkan permintaan tinggi daripada penduduk setempat yang mempunyai anak yatim.

Menurutnya, ia juga termasuk anak-anak daripada keluarga fakir miskin yang tidak berkemampuan untuk menjaga atau menampung kos sara hidup.

"Disebabkan permintaan yang tinggi, rumah yang ada sekarang di Kampung Bahagia bagi lelaki manakala di Bandar Kuala Rompin bagi perempuan memiliki ruang yang amat terhad.

"Justeru itu, pembinaan kompleks ini amat sesuai untuk jangka panjang yang mampu menempatkan sehingga 300 orang merangkumi bilik belajar, perpustakaan, pejabat, kantin dan dewan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks Rumah Nur Iman Rompin di Kampung Tanjung Pahang, di sini, semalam yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Rompin, Dato' Sri Hasan Arifin yang turut dihadiri Adun Tioman, Dato' Mohd Johari Hussain.

Mohd Saifudien berkata, ribuan terima kasih kepada pewakaf dan komuniti setempat yang menyambut baik serta memberikan kerjasama hingga majlis pecah tanah itu berjalan lancar.

Katanya, semoga majlis itu menjadi titik permulaan yang lebih baik dalam merealisasikan pembinaan Kompleks Nur Iman Rompin agar dapat memberi kebajikan terbaik buat anak-anak yatim dan miskin di daerah Rompin.

"Kami berharap agar sahabat-sahabat semua dapat membantu kami melalui sumbangan dan wakaf tunai bagi menyiapkan kompleks ini. Semoga apa yang disumbangkan akan menjadi saham buat kita di akhirat kelak," katanya.

Orang awam atau mana-mana pihak boleh menyumbang melalui akaun Bank Islam 0601-9010-1060-19 atas nama Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman atau hubungi Mohd Saifudien di talian 010-9203762 untuk sebarang pertanyaan.


Subscribe to receive free email updates: