Ahli PAS yang dungu biasa membuat komen tanpa memeriksa fakta sebenar, kata Siti Kasim selepas dibidas kerana catatan mengenai upacara korban Aidiladha.
Beliau berkata demikian selepas Ketua Wanita PAS Kedah Siti Ashah Ghazali menggesa Siti Kasim “jangan mengeluarkan kenyataan mengheret kesesatan kepada orang lain” kalau pun tidak mempercayai Al-Quran.
Siti Ashah berkata demikian dalam laporan Harakahdaily hari ini, yang mendakwa peguam itu menganggap ibadat korban bukan dari Al-Quran dan boleh merosakkan alam sekitar.
“Ahli PAS yang dungu biasa membuat komen tanpa memeriksa fakta sebenar,” kata Siti Kasim dalam kenyataan hari ini.
“Mereka bergantung kepada laporan laman web Menara.my yang diketahui memutar cerita orang-orang yang tidak selaras dengan kepercayaan mereka. Catatan saya terbuka kepada umum dan mereka dialu-alukan untuk membaca catatan itu.
“Meskipun begitu, saya tidak terkejut kerana mungkin mereka gagal memahami maksud sebenar catatan itu kerana mereka terlalu bodoh.”
Siti Kasim dalam catatan Facebook 1 September lalu menyentuh mengenai ribuan haiwan yang disembelih atas nama Tuhan sempena Aidiladha dan berkata korban bukan salah satu rukum Islam.