Hubungan Malaysia-AS sejak 1957 lebih dipengaruhi faktor perdagangan, bukan faktor geopolitik atau keselamatan serantau.
Apabila perdana menteri memberi komitmen terbuka bahawa Malaysia akan memerangi pengganas Muslim, termasuk al-Qaeda, Abu Sayyaf, dan Daesh, adakah ini menandakan Malaysia dalam proses dijadikan sekutu tentera AS?
Apabila Presiden Trump berkata, Malaysia akan memainkan peranan besar dalam gerakan anti-terorisme di Asia Tenggara, adakah ini bermakna Kuala Lumpur memainkan peranan anti-terorisme menerusi gerakan serangan ketenteraan?
Apakah komitmen Malaysia dan kenyataan Presiden Trump di atas memungkinkan Malaysia membuka fasiliti ketenteraannya di Sabah untuk membantu lojistik tentera AS di Basilan, Selatan Filipina, sejak 2002, untuk memerangi Abu sayyaf dan Daesh?
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendesak kerajaan memberikan perincian mengenai major role yang akan dimainkan Malaysia untuk memerangi pengganas Muslim di Asia Tenggara.
Adakah hanya terhad kepada aktiviti perang saraf? Adakah termasuk operasi ketenteraan di Sabah dan Selatan Filipina?
Kurang seimbang
Presiden Trump berkata, Malaysia sudah memutuskan hubungan dagangnya dengan Korea Utara. Adakah ini menandakan Malaysia berkompromi dalam keberkecualian dasar luarnya yang dipelopori Tun Razak Hussein di era perang dingin?
Adakah tindakan ini untuk hedging hubungan Malaysia-AS dan hubungan Malaysia-China yang kini kurang seimbang?
PERKASA minta kerajaan jelaskan hakikat anjakan dasar luar ini supaya keberkecualiannya terus terpelihara.
Perdana menteri juga memberitahu Presiden Trump, kunjungannya ke Rumah Putih, untuk membantu kuasa besar AS, mengukuhkan ekonominya, dan membangunkan semula projek-projek prasarananya.
Tawaran bernilai tinggi ini dipakejkan menerusi pembelian pesawat komersil untuk syarikat Malaysia Airline (MAS) sejumlah AS$10 bilion, penambahan pelaburan KWSP di pasaran modal AS antara A$3 bilion hingga AS$4 bilion, dan penambahan pelaburan Khazanah Nasional di bidang teknologi tinggi di AS, kini sejumlah AS$400 juta.
Diplomasi ini adalah satu paradoks atau mengandungi percanggahan. Ia dilakukan ketika rakyat marhaen Malaysia sedang diseksa dan didera oleh kos hidup harian yang kian melambung. Ia juga dilaksanakan oleh Malaysia selaku negara kecil terhadap AS selaku kuasa besar.
Read More / Baca Lagi >>