Ketua pengarah kesihatan berkata, ahli keluarga mengeluarkan Justinian Tan atas risiko sendiri untuk dihantar ke Singapura, selepas memahami risiko menangguh pembedahan ke atas mangsa.
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan hari ini menyangkal laporan media Singapura yang mendakwa Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru menangguhkan rawatan dan imbasan perubatan sewajarnya kepada seorang rakyat negara itu yang merupakan mangsa langgar lari, sehingga mendapat bayaran tunai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemuda berusia 25 tahun itu diberikan rawatan kecemasan pada kadar segera tanpa sebarang desakan untuk bayaran deposit terlebih dahulu.
Katanya, warga Singapura itu yang dalam keadaan kritikal, terus dimasukkan ke Zon Merah di Jabatan Kecemasan HSA dan diberikan rawatan kecemasan sejajar protokol Sokongan Nyawa Trauma Lanjutan (ATLS) yang sudah dimulakan dalam ambulans.
“Pasukan kakitangan Jabatan Kecemasan juga memulakan pengimejan diperlukan (x-ray, imbasan otak CT, serviks dan toraks), rawatan (termasuk intubasi) dan rujukan kepada pasukan berkaitan secara profesional dan dalam masa singkat, tanpa meminta sebarang deposit memandangkan ia adalah kes kecemasan.
“Berdasarkan kecederaan otaknya, pesakit itu dirujuk kepada pasukan pembedahan saraf dengan perancangan untuk kraniektomi nyahmampatan segera, pengeluaran darah beku dan pemantauan tekanan intrakranial, tanpa meminta deposit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
The Independent melaporkan mangsa, Justinian Tan meninggal dunia selepas HSA menangguhkan rawatan dan imbasan sehingga mendapat bayaran tunai.
Tan dilaporkan bersama 5 rakannya yang berjalan ke kereta mereka kira-kira jam 3 pagi, selepas selesai makan lewat malam. Tiba-tiba sebuah Proton Saga merempuh kumpulan pemuda itu, sebelum melarikan diri.
Tan yang tidak sedarkan diri kemudiannya didapati menggigil, batuk berdarah dan sukar bernafas.
Rakan Tan yang dipetik portal berita itu berkata, pihak berkuasa lambat bertindak, dengan ambulans hanya tiba 30 minit kemudian, walaupun jarak tempat kejadian dengan hospital hanya 5km atau 9 minit perjalanan, berdasarkan kiraan Google Maps.
Dr Hisham bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan berkata, rekod perkhidmatan ambulans menunjukkan panggilan kecemasan diterima pada jam 2.57 pagi, 25 Ogos lalu dan sebuah ambulans meninggalkan HSA 2 minit kemudian.
Beliau memuji tindakan pantas ambulans yang tiba di tempat kejadian dalam tempoh 13 minit, iaitu pada jam 3.10 pagi, sebelum meninggalkan lokasi itu dengan pesakit 5 minit kemudian.
Beliau turut mempertahankan HSA yang bertindak sejajar dasar Kementerian Kesihatan mengikut Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan bertarikh 4 Mac 2015 berhubung bayaran deposit untuk warga asing di hospital kerajaan.
Dr Hisham menegaskan ahli keluarga Tan hanya diminta membayar kos pengimejan berjumlah RM2,575 setiba mereka di HSA.
Bagaimanapun, katanya, ahli keluarga memilih untuk mengeluarkan pesakit atas risiko sendiri (AOR) dan merancang menghantarnya ke sebuah hospital di Singapura, selepas memahami risiko yang perlu ditanggung mereka kerana menangguhkan pembedahan ke atas mangsa.
“Kementerian Kesihatan menggesa semua pihak berkaitan untuk bertanggungjawab dalam laporan dan ulasan lanjut kerana mengeluarkan maklumat tidak tepat serta kenyataan tidak berasas boleh menimbulkan salah faham dan menjejaskan keharmonian.
“Kementerian Kesihatan sentiasa menghargai nyawa dan melakukan yang terbaik untuk merawat mana-mana pesakit, tanpa mengira latar belakang atau kerakyatan mereka.
“Ini sejejar etika dan budaya korporat Kementerian Kesihatan, iaitu ‘Penyanyang, Profesionalisme dan Kerja Berpasukan’ serta ‘Kami Sedia Membantu’,” katanya.
Tan yang merupakan anak ke-3 daripada 4 beradik itu disahkan mati otak pada jam 5.56 petang Isnin. Kelmarin, ibu bapanya membenarkan doktor mencabut sistem sokongan hayatnya.