GST dan kos hidup tinggi bebankan pengguna, jejaskan peniaga infomalay12.blogspot.com

GST telah mengakibatkan peningkatan kos sara hidup sejak pelaksanaannya pada April 2015, malah menyebabkan orang ramai mengetatkan perbelanjaan mereka.
GST_shoping
Cukai barang dan perkhidmatan (GST) nampaknya turut menjejaskan pelbagai industri, dengan doktor, peruncit, perusahaan kecil dan sederhana dan pertubuhan majikan mendakwa dasar itu turut menggugat bisnes masing-masing.
Bercakap kepada FMT, mereka berkata GST telah mengakibatkan peningkatan kos sara hidup sejak pelaksanaannya pada April 2015.
Mereka menambah, kos sara hidup yang tinggi menyebabkan orang ramai mengetatkan ‘pinggang’ mereka atau kurang berbelanja.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ravindran R Naidu berkata, beberapa klinik swasta mencatatkan penurunan kunjungan pesakit kerana ramai daripada mereka kini mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
“Untuk belanjawan akan datang, kami telah meminta kerajaan menghapuskan GST bagi semua peralatan perubatan, ubat dan rawatan di klinik dan hospital.
“Klinik yang dikendalikan oleh swasta telah mengenakan GST. Kos penjagaan kesihatan sedang meningkat.
“Pesakit merasakan kenaikan dengan kenaikan kos hidup, harga bahan api yang lebih tinggi dan nilai mata wang yang susut,” kata beliau kepada FMT.
Ravindran berkata, beliau dimaklumkan oleh kementerian kesihatan pada tahun lepas bahawa terdapat peningkatan sebanyak 30% jumlah pesakit yang pergi ke hospital kerajaan.
“Beberapa klinik swasta ditutup kerana kekurangan pesakit. Ini tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi ia berlaku sekarang,” katanya mengulas artikel Reserve Malaysia baru-baru ini memetik data Bank Negara Malaysia yang menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia mula membatalkan polisi insurans hayat mereka walaupun ada pertumbuhan sihat dalam industri.
Laporan itu berkata industri insurans hayat menanggung jamin perlindungan insurans berjumlah RM1.3 trilion untuk semua polisi pada tahun lepas iaitu 5% lebih tinggi daripada RM1.24 trilion pada tahun 2015.
Bagaimanapun, ia juga mencatatkan 2 kali ganda bilangan polisi yang diserahkan sejak 4 tahun yang lalu.
Laporan itu berkata, hanya 325,396 polisi diserahkan pada 2013 berbanding 531,444 pada 2014; 610,771 pada tahun 2015 dan 639,018 pada 2016.
Penasihat Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (Namlifa) Kebangsaan, James Bong berkata pelaksanaan GST membawa kepada trend itu, berdasarkan maklum balas daripada agensi insurans dan pelanggan.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim, Amanullah Maideen berkata, perniagaan menurun sebanyak 20% hingga 30% sejak GST dilaksanakan.
“Pelanggan datang ke kedai kami. Tetapi mereka mengambil sikap meninjau sahaja. Pengguna memotong belanjawan mereka untuk mengatasi kos sara hidup yang tinggi. Mereka hanya membeli barang keperluan,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah, peruncit hanya diberikan 7 hingga 15 hari untuk membayar pembekal mereka.
Oleh itu, mereka ditekan oleh pembekal untuk membayar dalam tempoh masa yang singkat bagi mengelakkan penalti kelewatan 5% dalam membayar GST, katanya.
Sebelum ini, katanya, mereka mempunyai 30 hingga 60 hari untuk membayar pembekal, memberi mereka masa untuk berbuat demikian.
Keahlian MEF tidak berubah
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, yuran keahlian maksimum organisasi untuk setahun adalah RM6,000.
Sejak 2015, Shamsuddin berkata, orang ramai tidak mendaftar sekerap yang mereka lalukan, di mana beliau menyalahkan GST 6%.
“Keanggotaan kami kekal sekitar 5,000 ahli. Sukar untuk berkembang lagi kerana orang sedang menimbang semula perkara-perkara dalam kehidupan yang mereka perlukan untuk mengurangkan (kos),” katanya.
Walaupun bayaran keahlian tidak dikenakan cukai, GST tetap dikenakan, kata beliau.
“Di 1 pihak, kerajaan mengatakan ia memberi pelepasan cukai tetapi sebaliknya, ia masih mengenakan GST.”
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :