Jika semuanya dilakukan berlebih-lebihan atau untuk tujuan sempit selain daripada yang digambarkan, maka bukan sahaja ia disindir atau dipermainkan bahkan tak kurang yang menyampah.
Itulah beberapa pandangan terhadap sidang media khas atau tergempar oleh Datuk Seri Najib pada 17 September lalu. Satu anti-klimaks atau anti-kemuncak dan mungkin langkah terdesak.
Itulah juga yang berlaku dalam lawatan kerja Datuk Seri Najib Tun Razak ke Rumah Putih bertemu Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. Lawatan ini penuh kontroversi sejak dari mula ia dimaklumkan kerana status lawatan yang kurang jelas dan motif lawatan dalam kedudukan Datuk Seri Najib dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat di bawah Jabatan Keadilan AS.
Walaupun dikatakan lawatan untuk mengeratkan hubungan dua hala serta kerjasama dalam isu serantau dan antarabangsa termasuk berkaitan ekonomi, keselamatan, pertahanan dan anti-keganasan, namun ia merupakan satu penghinaan kepada rakyat Malaysia apabila seorang Perdana Menteri yang telah digelar sebagai kleptokrat (perompak wang rakyat) dan “MO1” bertemu dengan Presiden AS tanpa membuat percubaan selama bertahun-tahun untuk membersihkan dirinya dan negara daripada tuduhan sebagai perompak global.
Ini boleh dikatakan muka tebal tahap tertinggi! Tiada sesiapa yang boleh mencabar tahap ketebalan muka Datuk Seri Najib dalam hal ini. Barangkali kerana itulah beliau berbangga dengan pencapaian itu dan menyebutnya dalam ucapan sebaik kembali ke tanah air.
Menurutnya, walaupun pembangkang mengatakan beliau tidak berani ke AS kerana takut ditangkap tetapi Presiden AS, negara kuasa besar ekonomi dan ketenteraan itu, telah menerimanya dengan sambutan dan pengiktirafan yang di luar dugaannya sama sekali.
Malah beliau mengatakan sambutan ke atasnya jauh lebih baik daripada sambutan yang diterima ketika Tun Dr Mahathir bertemu Presiden Bush dahulu. Beliau juga menganggap lawatannya itu bukan untuk melutut kepada AS tetapi untuk menyatakan negara sudah sampai ke peringkat global.
Cakap-cakap begini mungkin hebat bunyinya namun ia membenarkan telahan ramai sebelum ini bahawa lawatan berkenaan ialah sebahagian daripada rancangan untuk menangkis imej buruk yang terpalit ke atas Datuk Seri Najib oleh skandal 1MDB. Beliau perlu merangsang popularitinya yang merudum untuk meningkatkan peluang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Ini kerana skandal 1MDB dengan wang yang lesap berpuluh ribu juta ringgit sudah tersohor seantero dunia hinggakan sebahagian besar media antarabangsa dengan jelas memetik pertemuan Presiden Trump dengan Perdana Menteri sebagai pertemuan dengan seorang yang terbabit dengan skandal berbilion dolar.
The New York Times umpamanya mengeluar berita bertajuk “Malaysian Leader in Billion-Dollar Scandal Is Invited to White House” (Pemimpin Malaysia Yang Terlibat Skandal Berbilion Dolar di Jemput ke Rumah Putih) manakala berita The Washington Post menyebutkan “Trump’s hosting of Malaysia’s prime minister marks another setback for the rule of law” (Trump sebagai tuan rumah kepada Perdana Menteri Malaysia menandakan satu kemunduran kepada kedaulatan undang-undang).
Di sebalik laporan dan persepsi negatif begini, apakah mahar yang terpaksa dibayar untuk rancangan hebat Datuk Seri Najib ini tetap menjadi kenyataan?
Pertama, Datuk Seri Najib telah berkemungkinan besar membayar pelobi berjuta ringgit untuk memastikan boleh bertemu dengan Presiden Trump. Beliau bandingkan dirinya dengan Tun Dr Mahathir yang juga membayar pelobi untuk bertemu Presiden Bush tetapi tidak menafikan yang beliau juga melakukan perkara yang sama. Dari mana datangnya duit untuk bayar pelobi?
Kedua, sebagai timbal balik untuk berlakunya pertemuan tersebut dan tidak membangkitkan isu skandal 1MDB, sudah tentu AS juga ingin menuntut atau mendengar manfaat kepadanya. Bahasa badan Presiden Trump dengan gaya berpeluk tubuh seolah-olah mahu memecat orang sudah cukup untuk menggambarkannya.
Read More / Baca Lagi >>