Ketua umum PKR itu mengesahkan menyokong meneruskan rundingan dengan PAS bukan sahaja di peringkat Selangor tetapi juga di seluruh negara.
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan memberi persetujuannya supaya PKR mengadakan rundingan bersama PAS, tetapi berkata beliau tidak menentang sebuah kongres khas bagi mendapatkan mandat akar umbi sama ada rundingan itu perlu diteruskan.
“Secara peribadi, memahami semangat demokrasi PKR, saya tidak keberatan jika ingin dikendali Kongres Khas,” kata ketua umum PKR itu hari ini, di tengah-tengah perang mulut melibatkan beberapa pemimpin PKR mengenai rundingan dengan PAS.
Menurut Anwar, beliau “tidak dapat meremehkan” kerisauan beberapa pemimpin PKR mengenai rundingan bersama PAS, disebabkan persepsi hubungan erat PAS dan Umno.
Anwar bagaimanapun berkata apa yang menjadi masalah ialah sama ada sebarang keputusan kongres khas boleh dilaksanakan segera disebabkan pilihan raya umum (PRU) yang boleh berlaku bila-bila masa.
“Kemusykilan saya adalah keperluannya memandangkan tiada perubahan dasar yang berlaku. Malah dengan kemungkinan PRU 14 diadakan dalam tempoh terdekat, segala keputusan perlu dimuktamadkan segera,” katanya dalam kenyataan.
Bulan lalu, Ahli Parlimen Selayang William Leong meletak jawatan sebagai anggota Biro Politik PKR kerana kecewa langkah parti mengadakan rundingan dengan PAS.
Susulan itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli secara terbuka mempersoalkan Datuk Seri Azmin Ali kerana mengadakan rundingan dengan PAS, walaupun parti Islam itu sebelum ini membayangkan akan memaksa pertandingan 3 penjuru melibatkan komponen Pakatan Harapan (PH).
Azmin mempertahankan rundingan dengan PAS, dengan berkata ia berdasarkan keputusan parti.
Rafizi kemudian mendedahkan kepincangan di peringkat tertinggi PKR sejak Anwar dihukum penjara 5 tahun pada awal 2015.
“Jika pun telah ada persetujuan di peringkat Biro Politik, jika itu tidak disukai oleh seseorang maka keputusan itu tidak dihormati malah akan dibuka balik di dalam mesyuarat Biro Politik yang seterusnya untuk ditukar kembali,” kataa Rafizi pada 29 Ogos.
Rafizi turut menamakan pemimpin yang pro dan kontra dalam soal menjalinkan kerjasama dengan PAS, dan berkata kekeliruan itu hanya boleh diselesaikan sekiranya isu itu diserahkan kepada akar umbi parti dalam kongres khas.
Dasar ‘tidak musuhi PAS’
Anwar hari ini berkata walaupun PKR berunding dengan PAS, parti itu komited dalam kerjasama Pakatan Harapan, gabungan 4 parti yang tidak disertai PAS.
Menurutnya, dasar PKR adalah untuk “tidak memusuhi PAS”.
“Apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah tidak memusuhi PAS, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan 3 penjuru. Pertimbangannya adalah menggembeleng seluruh kekuatan dalam menghadapi Umno-BN dalam PRU 14,” kata Anwar.
Read More / Baca Lagi >>