Anak muda tak peduli skandal 1MDB infomalay12.blogspot.com

TIGA isu besar yang jadi tajuk berita — skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dakwaan terhadap integriti Perdana Menteri Najib Razak dan pelaksanaan hudud di Malaysia, bukan isu-isu yang menarik perhatian anak muda di negara ini, dedah kaji selidik terbaru Merdeka Center.
Sebaliknya, tiga isu utama yang jadi perhatian besar majoriti anak muda berumur antara 21 hingga 30 tahun sekarang ialah inflasi, rasuah dan peluang pekerjaan.
Kaji selidik Merdeka Center itu mendapati hanya 6% anak muda merasakan isu 1MDB penting bagi mereka manakala isu integriti Najib 5% dan pelaksanaan hudud 2%.
"IMDB ini sesuatu yang berlau dua tahun lalu. Sekarang, ia sudah jadi isu yang. Kebanyakan isu biasanya bertahan lebih kurang tiga atau empat minggu.
"Kebanyakan orang sudah sedar tentang 1MDB. Keprihatinan tentang 1MDB itu sudah bertukar jadi kebimbangan tentang urus tadbir yang baik, kedaulatan undang-undang serta rasuah," kata pengarah Merdeka Center, Ibrahim Sufian.
Kaji selidik yang dibuat dengan kerjasama Watan, sebuah pertubuhan sosial yang menggerakkan kempen pendaftaran pengundi, dibentangkan di Petaling Jaya, malam tadi.
"Isu 1MDB ini tidak akan mendapatkan sokongan baru kerana kebanyakan orang sudah sedar mengenainya. Saya tidak fikir orang bodoh. Orang sekarang dapat maklumat yang luas, mereka tahu yang mana betul dan yang mana salah."
Kaji selidik yang dibuat di 165 kawasan parlimen di seluruh Semenanjung Malaysia itu bertanya apakah dua isu yang paling penting bagi anak muda Malaysia sekarang.
Ia melibatkan 604 responden di Semenanjung Malaysia merangkumi 68% anak muda Melayu, 23% Cina dan 9% India, dari 165 kawasan Parlimen, termasuk kira-kira 40% yang belum mendaftar mengundi. Wawancara melalui telefon itu dibuat antara 3 hingga 8 Ogos lepas.
Sementara itu, lebih separuh anak muda meletakkan isu inflasi sebagai isu paling utama bagi mereka, dengan anak muda di luar bandar (57%) lebih merasakan isu itu penting berbanding anak muda di bandar (48%).
Isu inflasi juga lebih dirasai oleh anak muda kaum India (65%) berbanding Melayu (54%) dan Cina (38%).
Sementara itu, rasuah pula merupakan isu kedua utama (34%) diikuti isu-isu peluang pekerjaan (24%), kestabilan politik (17%), jenayah (15%), perumahan 13%) dan kelemahan kepimpinan (13%).

Subscribe to receive free email updates: