(Ubah saiz teks)
SHAH ALAM - Dakwaan kononnya terdapat lapan Adun PKR akan melompat parti menyertai Umno bersama bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, tidak benar.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, berita itu hanya rekaan semata-mata yang dibuat pihak tertentu.
“Berita itu tidak betul. Saya pun tidak pernah dengar. Tidak ada langsung desas-desus. Kita sekarang sedang sibuk membuat persediaan menghadapi PRU14.
“Saya rasa, cerita itu sengaja direka untuk mengurangkan rasa malu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (atas pengumuman Muhammad yang menyertai Umno),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Kelmarin, sidang media khas diadakan untuk mengumumkan penyertaan Muhammad kembali kepada Umno.
Terdapat laporan portal berita mengatakan, Muhammad sepatutnya membawa lapan Adun PKR dan 13 Adun Pas bersama menyertai Umno, namun hanya beliau yang muncul pada sidang media, berkenaan.
Muhammad sebelum ini keluar daripada Umno untuk menyertai Pas pada 2013, sebelum meninggalkan parti tersebut dan bersama PKR pada tahun 2015.
Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin turut menafikan laporan berkenaan dan menyatakan ia hanya cerita dongeng yang sengaja direka-reka untuk menutup malu sidang media yang dibuat Najib, kelmarin.
Dalam pada itu, Rafizi menghormati keputusan Muhammad meninggalkan PKR. Ketiadaan beliau untuk bersama Umno bagaimanapun, tidak menjejaskan PKR.
“Cuma saya terkilan kerana kami banyak meluangkan masa turun ke kampung-kampung bersama (berkempen) . Saya tahu jiwa beliau rapat dengan orang kampung.
“Beliau rasa, Umno adalah platform terbaik untuk membela orang Melayu dan penduduk kampung. Saya hormati pandangan beliau. Pendekatan PKR dalam membela orang Melayu berbeza dengan yang dibawa Umno,” katanya