SIAPA LAGI BAKAL DITANGKAP SELEPAS ISA SAMAD ATAU INI SATU LAGI PEMENTASAN WAYANG OPERA UNTUK KITA?
Berikutan penahanan bekas Pengerusi Felda Global Ventures atau FGV, Isa Samad oleh SPRM untuk disiasat berhubung pembelian dua hotel, satu di London dan satu lagi di Kuching yang dikatakan melebihi harga pasaran, beberapa persoalan kini berlegar di perbincangan umum.
Ada yang bertanya, apakah Isa Samad saja yang ditahan atau beberapa nama lagi yang diketahui pernah disiasat SPRM, akan turut menerima nasib yang sama?
Seperti yang diketahui umum, antara pemimpin UMNO yang pernah diambil keterangan oleh SPRM sebelum ini ialah Pengerusi Felcra, Bung Mokhtar Radin dan bekas Pengerusi Mara merangkap Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa.
Bung Mokhtar diambil keterangan selama beberapa jam berhubung penggunaan dana Felcra untuk membeli saham amanah yang didakwa melibatkan kepentingan isterinya, manakala Annuar pula berkaitan penajaan anak syarikat Mara terhadap pasukan bolasepak Kelantan.
Kedua-dua kes itu masih tiada khabar berita sehingga ini dan persoalan ramai, apakah selepas Isa Samad, gilliran mereka akan menyusul tiba?
Jika tiada sesiapa ditahan selepas Isa Samad, persoalan lain ialah apakah juga beliau benar-benar akan didakwa di mahkamah selepas ini atau penahanannya hanya sekadar untuk memaksanya bersara dan melepaskan jawatan sebagai Pemangku Pengerusi SPAD yang disandangnya sekarang?
Tidak kurang yang meragui penangkapan Isa yang kini ditahan reman selama lima hari hanyalah sekadar wayang opera Cina semata-mata untuk menunjukkan kepada rakyat kerajaan pimpinan Najib Razak kononnya benar-benar serius dan tegas memerangi rasuah.
Yang meragui itu berkata, Najib tidak mungkin berani memanjangkan kes rasuah melibatkan Isa Samad sehingga kepada pendakwaan, apatah lagi sampai kepada hukuman penjara.
Antara alasannya, kata mereka, hukuman ke atas Isa Samad akan menyebabkan risiko yang besar kepada masa depan BN Negeri Sembilan dalam mempertahankan kuasa yang ketika ini hanya berkelebihan tiga kerusi saja berbanding pembangkang.
Isa Samad, dengan rekod pernah menjadi Menteri Besar selama 23 tahun dikatakan masih mempunyai hubungan yang rapat dengan beberapa kelompok penting dalam UMNO Negeri Sembilan dan tergurisnya hati mereka berikutan nasib yang ditimpakan keatas Ahli Parlimen Jempol itu, ia secara tidak langsung adalah berita baik bagi Pakatan Harapan untuk menguasai negeri tersebut dalam pilihanraya akan datang.
Bagi golongan yang setia, taksub dan terhutang budi dengan Isa Samad, mereka tentu sukar menerima hakikat jika hanya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu saja yang didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah, sedangkan nama-nama lain seperti Bung Mokhtar Annuar Musa misalnya, dibiarkan lepas bebas begitu saja.
Tetapi, persoalan lebih besar akan menghantui Najib jika beliau berani membiarkan lebih ramai pemimpin UMNO ditahan, didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan rasuah kerana ia akan menjejaskan pula peluangnya untuk memastikan UMNO dan BN kekal menguasai Putrajaya.
Dengan lebih ramai pemimpin UMNO didakwa atas kesalahan rasuah, ia dengan sendirinya menunjukkan UMNO dan BN seolah-olah dipimpin oleh majoriti mereka yang rasuah dan ia mungkin mendorong rakyat lebih mudah memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan sebagai taruhan untuk memulihkan masa depan negara.
Dalam pada itu, dengan Najib hanya bertindak terhadap beberapa pemimpin UMNO saja, tetapi masih tiada tindakan terhadap mereka yang dikaitkan dengan skandal 1MDB seperti Shahrul Halmi, Nik Faisal Arif Kamil, Suboh Md Yassin atau Jho Low, di mata umum penangkapan itu tidak lebih hanyalah untuk menutup kesalahan lebih besar melibatkan dirinya semata-mata.
Najib tentu saja akan ditempelak secara diam-diam dan akhirnya lebih mudah dikalahkan dalam PRU 14 lantaran dianggap sebagai pemimpin yang tidak jujur dan hanya ingin menyelamatkan tengkuknya.
Jika Najib benar-benar jujur, mengapa mereka yang dikaitkan dengan 1MDB masih tidak diambil apa-apa tindakan?
Dari segi ini, Najib berbeza dengan Tun Abdullah Badawi semasa era awal pemerintahannya yang menahan Kasitah Gadam untuk menampilkan imejnya memerangi rasuah kerana beliau ketika itu tiada pekung atau sopak yang mahu ditutupnya, sedangkan masalah Najib sudah menjadi bualan di seluruh dunia.
Maka, penahanan Isa Samad ini, walapun Najib mungkin berharap dapat memperbaiki atau mengaburi pandangan rakyat terhadap imej dirinya, beliau juga sedang membawa risiko yang lebih besar kepada UMNO dan BN. (ShahbudinHusin 16/08/2017)