Ahmad Atory Hussain berkata banyak perhatian tertumpu kepada kesan pertandingan pelbagai penjuru kepada PH, terlepas pandang perkara yang paling nyata.
PETALING JAYA: Keengganan PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan tidak akan menjejaskan peluang gabungan pembangkang pada pilihan raya nanti, kata seorang penganalisis politik.Ahmad Atory Hussain berkata ketika perhatian pemerhati politik tertumpu kepada kesan pertandingan pelbagai penjuru kepada PH, mereka terlepas pandang perkara paling nyata.
Beliau berkata walaupun undi pembangkang akan terpecah dalam pertandingan tiga penjuru, pilihan raya umum akan datang juga bakal menyaksikan sokongan kepada Umno dan PAS berpecah.
“Sokongan kepada PAS dan Umno sudah pun terpecah dengan pembentukan parti serpihan Amanah dan PPBM,” katanya kepada FMT.
Kesimpulannya, pada hari pengundian nanti, sama ada diadakan tahun ini atau tahun depan, penyokong yang menjadi tempat PAS dan Umno bergantung pada pilihan raya umum 2013 akan lebih kecil.
Malah, ada juga yang akan meninggalkan mereka untuk bersama dengan pemimpin Amanah dan PPBM yang diundi mereka sebelum ini, kata Atory.
“Di atas kertas memang nampak seperti pertandingan pelbagai penjuru menentang BN akan menyukarkan peluang PH untuk menang.
“Namun tidak mustahil kerana pengundi PAS akan berpecah dua dan begitu juga dengan Umno.
“Kalau ia seperti plihan raya lepas, di mana PPBM dan Amanah tidak wujud, pertandingan 3 penjuru akan menyaksikan DAP dan PKR melawan PAS dan Umno.”
Bagaimanapun, Atory mengakui masih banyak yang perlu dilakukan PH untuk menjamin kemenangan pada pilihan raya umum akan datang kerana PAS menyukarkan keadaan untuk gabungan itu.
Ditanya apakah yang boleh dilakukan oleh gabungan yang dipimpin bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meningkatkan peluang mereka pada pilihan raya nanti, Atory berkata antara langkah boleh diambil ialah mengumumkan calon menteri besar mereka untuk setiap negeri.
“Beritahu pengundi siapakah orangnya yang kamu tawarkan sebagai pemimpin mereka – iaitu mereka akan ada seorang pemimpin yang baik dan boleh diterima.”
“PH juga mesti pastikan manifesto pilihan raya gabungan itu sampai kepada pengundi dan mudah difahami,” katnya.
Majlis presiden PH malam tadi membuat keputusan tegas untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas bermesyuarat selama 3 jam, pemimpin PH berkata gabungan itu akan menyediakan strategi untuk menghadapi pertandingan 3 penjuru.
Read More / Baca Lagi >>