Bekas ketua pembangkang mengalu-alukan tindakan tegas SPRM dalam kes rasuah, namun mempersoalkan tindakan yang diambil terhadap exco Pulau Pinang.
Ketua umum PKR itu berkata walaupun beliau mengalu-alukan tindakan tegas SPRM dalam kes Felda Global Ventures (FGV) dan Jabatan Air Sabah, beliau bagaimanapun mempertikaikan tindakan SPRM dalam kes kilang haram dan kesan pencemaran di Sungai Lembu, Pulau Pinang.
“Tindakan tegas SPRM di dalam kes FGV atau JAS dialu-alukan; meskipun masih timbul persoalan mengapa belum dilanjutkan siasatan terhadap pihak atasan yang bertanggungjawab, termasuk isu 1MDB.
“Maka dalam kes kilang haram dan kesan pencemaran di Sungai Lembu yang dibantah penduduk, tindakan SPRM dianggap munasabah.
“Bagaimanapun, kami musykil kerana tindakan untuk memperolehi maklumat dari Phee Boon Poh dilakukan secara keterlaluan, termasuk tahanan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM pada Sabtu berjaya memohon perintah reman 5 hari dari Mahkamah Majistret, untuk membantu agensi itu menyiasat Phee dan 2 pemilik kilang kerana rasuah berkenaan kilang penapis karbon haram di Bukit Mertajam.
Perintah reman itu bagaimanapun diketepikan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.
Phee, 66, disiasat kerana menggunakan kuasa atau kedudukan untuk ganjaran di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Dua individu lagi berusia 70 dan 37 merupakan pemilik kilang penapis karbon yang didakwa beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu.
Jika didapati bersalah, Phee berdepan penjara 20 tahun, denda tidak kurang dari 5 kali ganda nilai ganjaran atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.