Tiada alasan untuk berdolak dalih lagi, kata orang yang mendepani usaha membongkar pembelian Scorpene.
“Lima tahun sejak siasatan dibuka, saya berdepan gangguan dan intimidasi dan menerima ancaman kerana bertindak sebagai pemberi maklumah,” kata Cynthia Gabriel, yang kini mengetuai NGO anti-rasuah, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4).
Menurutnya, langkah mendakwa Razak merupakan kemenangan kepada kumpulan aktivis seperti Suaram dan C4 “yang terus bertahan dalam misi membawa si korup ke muka pengadilan.
“Mereka perlu menjawab atas kelakuan mereka,” kata Cynthia.
Semalam, AFP melaporkan Razak didakwa di Perancis 2 minggu lalu kerana bersubahat “secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat”, berhubung penjualan 2 kapal selam Scorpene kepada Malaysia pada 2002.
Ia merupakan langkah pertama sebelum Razak dapat dibicarakan atas tuduhan itu, sementara menunggu arahan rasmi majistret untuk penyiasat memulakan siasatan.
Pembelian kapal selam Scorpene pada 2002 dikaitkan dengan Perimekar Sdn Bhd, sebuah syarikat dikaitkan dengan Razak, yang rapat dengan menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Razak yang dikaitkan dalam pembunuhan kekasihnya Altantuya Shaariibuu pada 2006, dibebaskan daripada pertuduhan itu pada 2008.
Altantuya dikatakan menuntut pembayaran atas peranannya sebagai penterjemah dalam proses pembelian itu, sebelum dibunuh dengan kejam pada November 2006. Dua pegawai polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan itu.
AFP sebelum ini melaporkan susulan pembelian Scorpene, komisen lebih €114 juta (RM570 juta) dibayar kepada sebuah syarikat kosong dikaitkan Razak.
Cynthia yang berulang alik ke Paris bagi membantu agensi penyiasatan Perancis berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu segera membuka siasatan susulan perkembangan terkini itu.
“Tidak perlu berdolak dalih lagi,” katanya.
Menurutnya, Najib sebagai menteri ketika pembelian Scorpene juga perlu bertanggungjawab.
Cynthia mengulangi gesaannya supaya Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberikan kerjasama kepada pihak pendakwaan Perancis.
Read More / Baca Lagi >>