Apabila Hadi Awang mengatakan demikian, ia tidak bermakna hanya Pas saja yang memiliki tonggak Melayu Islam itu atau Melayu Islam dalam Pas saja yang boleh diyakini.
Hakikatnya, dalam BN dan Pakatan Harapan juga tonggaknya adalah Melayu Islam. Dalam hal ini, Pakatan Harapan turut berulangkali menyatakan Melayu Islam tetap menjadi tonggak kepimpinan negara setelah BN berjaya diumbangkan nanti.
Bahkan, jika diperhati tonggak Melayu Islam dalam Pas adalah paling tidak diyakini untuk memimpin negara ini, manakala dalam UMNO dan BN ia sudah "reput menunggu mati".
Maka, tatkala rata-rata kita setuju bahawa Melayu Islam mesti jadi tonggak kepimpinan negara, Hadi janganlah "perasan" dengan menulis pandangan yang cuba memberi gambaran seolah-olah Melayu Islam Pas paling layak menerajui negara ini.
Apakah Hadi sendiri, Nik Abduh, Nasruddin Tantawi, Mohd Amar Abdullah, Idris Ahmad dan lain-lain pemimpin Pas boleh diyakini untuk memimpin negara ini?
Dalam catatan di laman Twitter, susulan tulisan berkaitan Melayu Islam itu, Hadi juga menitipkan ayat, "Jika Melayu bersama Islam semuanya akan selamat, Melayu tanpa Islam semunya tidak selamat."
Sekali lagi, rata-rata kita tentunya setuju dengan apa yang ditulis oleh Hadi itu, malah ia bertepatan dengan ungkapan, "Islam adalah rahmat kepada sekalian alam."
Tetapi, pastilah Islam yang membawa rahmat dan penyelamat itu bukanlah Islam yang didokong dan diperjuangkan oleh Pas.
Read More / Baca Lagi >>