Selepas mesyuarat lebih 4 jam, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut memaklumkan ia sedang merangka strategi bagi menghadapi pertandingan 3 penjuru pada PRU14.
PETALING JAYA: Empat parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).Majlis Presiden PH ketika mengumumkan keputusan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat lebih 4 jam malam tadi turut memaklumkan ia sedang merangka strategi bagi menghadapi pertandingan 3 penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata: “Kami berjaya menyelesaikan masalah berhubung pelantikan pemimpin negeri.”
Kebanyakan pemimpin tertinggi PH, termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menghadiri mesyuarat itu, kecuali Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.
Sementara itu, Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub menyifatkan keputusan itu sebagai berita baik dan keputusan tegas.
Beliau yang juga timbalan presiden Amanah berkata, keputusan itu dibuat bersama 4 parti komponen PH dan ia akan dilaksanakan di semua negeri, termasuk Selangor yang dipimpin Azmin.
Beberapa pemimpin PKR dilapor mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS yang menurut Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin turut direstui ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Biro Politik parti reformasi itu.
Sabtu lalu, Azmin mendakwa rundingannya dengan PAS mendapat mandat parti, selepas timbul spekulasi PKR cuba mengadakan perjanjian berasingan dengan parti Islam itu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada PRU14.
“Mereka selalu kata rundingan itu inisiatif saya, tetapi sebenarnya bukan inisiatif peribadi saya. Rundingan itu keputusan PKR. Saya mewakili parti,” kata Azmin yang menyifatkan perbincangan “tidak rasmi” itu hanya melibatkan PKR dan PAS.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution pada Isnin menafikan parti itu berbincang dengan PAS, sebaliknya rundingan pembahagian kerusi hanya membabitkan parti komponen PH.
Read More / Baca Lagi >>