Begitu kata seorang sosok politik daripada pembangkang akan keyakinannya melihat potensi yang ada pada PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Setahun lebih sejak kenyataan ini dikeluarkan, adakah ia menjadi seperti yang dikatakannya?
Bermula dengan tiga jawatan utama dalam kepimpinan tertinggi PH yang belum dijelaskan sebab musababnya dengan munasabah, permainan tarik tali antara PH terutamanya PKR dalam usaha memujuk PAS kembali bersama, krisis kepimpinan PKR di Kelantan, keretakan dalaman yang berlaku dalam PKR dan manifesto 100 hari yang seakan tidak masuk akal, PH nampaknya terpaksa menunggu lima tahun lagi untuk menawan Putrajaya.
Tindakan Latheefa Koya yang memuat naik status di media sosial yang menunjukkan rasa tidak puas hati kepada Rafizi Ramli sehingga melabel beliau sebagai “kanser” dan penyebab utama perpecahan dalaman parti jelas menunjukkan krisis kepimpinan dalaman PKR semakin meruncing selain tindakan membuang ketua Pemuda PKR Kelantan, Hafidz Rizal secara mengejut tanpa perbincangan telus dalam mesyuarat.
Adanya kem dalam parti politik adalah perkara biasa, namun sebagai parti yang bercita-cita besar untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN), mereka seharusnya lebih mementingkan soal strategi dalam berdepan dengan pesaing termasuklah PAS.
Ini berikutan mesyuarat Majlis Presiden PH kelmarin mengesahkan tidak akan ada kerjasama dengan PAS menjelang PRU14 sekali gus membuka jalan kepada pertembungan tiga penjuru.
Satu lagi penyebab PRU14 bukan milik PH adalah kerana tiada watak kepimpinan yang kuat dan berpengaruh dalam setiap parti komponen blok pembangkang.
Dr Wan Azizah Wan Ismail jelas gagal mempamerkan watak sebagai seorang pemimpin yang lantang dalam menentukan hala tuju pembangkang, malah gagal menyelesaikan masalah dalaman yang menyaksikan berlaku perpecahan antara beberapa individu penting dalam parti.
Manifesto 100 hari yang diumumkan PH beberapa bulan yang lepas juga menyaksikan beberapa perkara yang sukar untuk dilakukan dalam masa 100 hari pertama jika PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.
Menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah satu tindakan sangat tidak masuk akal. Negara jelas akan kehilangan RM42 bilion setahun bagi memastikan pendapatan negara kekal mapan. Tiada gunanya menghapuskan GST jika PH akan keluar dengan sistem percukaian yang baharu pula.
Sepatutnya, PH harus melihat masalah pelaksanaan sistem percukaian tersebut.
Sistem GST ini, yang juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di luar negara, digunakan di hampir seluruh dunia memperlihatkan sistem percukaian ini benar-benar membantu negara mendapat sumber pendapatan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang.
Jika benar PH ingin memastikan negara bersih daripada segala skandal rasuah dan salah guna kuasa yang diuar-uarkan selalu dalam ceramah, persoalannya kenapa tidak dimasukkan langkah untuk memisahkan jawatan perdana menteri daripada portfolio kementerian kewangan?
Read More / Baca Lagi >>