SUSULAN kecemerlangan membawa watak pengulas sukan dalam filem box office Ola Bola, netizen kini menginginkan aktor Bront Palarae agar mengembalikan kegemilangan itu dengan mengulas perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA KL2017 yang akan berlangsung Selasa ini.
Seorang netizen di laman Twitter terlebih dahulu telah berkicau ingin Bront mengendalikan ulasan final itu nanti sebelum twitnya diulang kicau oleh ramai netizen yang bersetuju dengan cadangannya itu.
Setakat ini, twit tersebut telah berjaya diulang kicau lebih 24,000 kali oleh para netizen.
Sementara itu, Bront menyifatkan ‘petisyen’ yang diutarakan netizen sebagai satu pujian buatnya.
Namun Bront merasakan dirinya tidak layak menggalas tugas itu kerana menyifatkan lebih ramai lagi pengulas sukan berpengalaman dan berkaliber di luar sana.
Memetik laporan mStar Online, Bront berkata, “Itu pendapat orang ramai sahaja dan saya pun hanyalah seorang pelakon tetapi saya ambil cadangan itu sebagai satu pujian.
“Ia juga bukti lakonan saya dalam Ola Bola sebenarnya menjadi dan untuk menggalas tanggungjawab itu rasanya ia tidak logik.
“Lagipun ia bukan bidang saya dan pengulas sukan sedia ada pun semuanya dari kalangan terbaik,” katanya.
Pasukan bolasepak skuad Malaysia Bawah 22 tahun (B22) melangkah ke perlawanan akhir selepas berjaya menundukkan Indonesia 1-0 dalam separuh akhir yang diadakan di Stadium Shah Alam, semalam.
Malaysia bakal berhadapan saingan Thailand dalam perlawanan final Selasa ini bertempat di Stadium Shah Alam.