Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata lantikan politik PKR dalam kerajaan Kelantan tidak meletak jawatan seperti yang diarahkan PKR Pusat.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menafikan laporan mendakwa lantikan politik PKR dalam kerajaan Kelantan meletak jawatan.
“Setakat ini maklumat kami terima mereka tidak meletak jawatan…tindakan mereka tak letak jawatan satu tindakan positif dalam konteks rakyat,” katanya pada sidang media selepas sidang meja bulat mendengar penerangan Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengenai hutang 1MDB dan pelan rasionalisasi dana milik kerajaan itu di Hotel De Palma, Ampang.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir kepada FMT hari ini.
“Mereka yang mengangkat sumpah tidak meletak jawatan dan meneruskan tugas seperti biasa…demi rakyat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Penerangan PKR Kelantan Mohammad Azihan Che Seman berkata 7 ahli PKR yang dilantik ke majlis daerah meletakkan jawatan.
Azihan berkata PKR Kelantan bermesyuarat pada Mei dan Jun membincangkan surat Biro Politik PKR pada 17 Mei mengarahkan semua ahli parti yang memegang jawatan lantikan politik melepaskan kedudukan masing-masing.
“Selepas PAS memutuskan ikatan dengan PKR pada Mei…dipersetujui 7 ahli akan meletak jawatan pada 31 Julai, seperti diarahkan kepimpinan pusat,” kata Azihan.
Sebelum ini, media melaporkan 56 ahli PKR lantikan politik dalam kerajaan Kelantan menunggu keputusan rasmi dari PKR Pusat, selepas parti menangguhkan pelaksanaan arahan Presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Read More / Baca Lagi >>