Pulau Pinag - Selepas kilang haram pembakaran habuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti didakwa menyebabkan pencemaran alam sekitar yang teruk, sebuah lagi kilang salut besi di Kampung Tuk Subuh, Bukit Minyak di sini turut dikatakan mengancam keselamatan penduduk.
Ong Cheng Giap menunjukkan penyakit kulit yang dialaminya dipercayai berpunca daripada operasi kilang salut besi berdekatan rumahnya di Kampung Tuk Subuh, Bukit Minyak, Pulau Pinang, semalam.
Kilang itu yang beroperasi sejak 2014 dikatakan membebaskan asap yang bukan sahaja mencemarkan udara, malah menyebabkan penduduk di sekitarnya menderita penyakit kulit yang serius.
Seorang penduduk, Ong Cheng Giap, 43, mendakwa, dia serta 11 ahli keluarganya mengalami masalah alahan kulit termasuk gatal-gatal sejak kilang itu yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya mula beroperasi.
Menurutnya, selain masalah alahan kulit, ahli keluarganya terutama kanak-kanak turut mengalami masalah pedih kerongkong dan sakit tekak.
Katanya, pemeriksaan di hospital turut mengesahkan mereka sekeluarga berdepan dengan pencemaran udara dan dipercayai berpunca daripada asap yang dibebaskan kilang berkenaan.
“Sebelum kilang ini beroperasi pada 2014, kami sekeluarga tidak pernah mengalami masalah kesihatan seperti ini.
“Malah, kami juga tertanya-tanya bagaimana kilang ini boleh diluluskan operasinya di dalam kawasan kampung apabila jarak rumah kami dengan kilang terlalu dekat iaitu kira-kira 100 meter sahaja,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama-sama Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Tang Hiang Lye supaya siasatan dapat dibuat berhubung status operasi kilang tersebut.
Menurut Cheng Giap, dia dan beberapa penduduk lain sebelum ini sudah hampir 10 kali membuat laporan berhubung operasi kilang itu kepada Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, namun tiada tindakan susulan diambil mana-mana pihak.
Malah katanya, penduduk juga beberapa kali cuba bertemu dengan tuan tanah di mana kilang itu beroperasi namun gagal kerana pemiliknya enggan bertemu penduduk.
Sementara itu, Hiang Lye berkata, pihaknya berharap SPRM dapat menyiasat status operasi kilang tersebut kerana khuatir dilindungi pihak tertentu memandangkan beberapa aduan penduduk terhadap pihak berwajib tidak diambil peduli.
“Lebih mengecewakan, kita difahamkan penduduk juga mengadu masalah ini kepada wakil rakyat di sini termasuk Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh namun jawapan yang diterima adalah supaya mereka tidak mempolitikkan isu ini,” katanya.