[KUANTAN] TUNJUK ISYARAT 'PEACE' SELEPAS KEBAS MOTOSIKAL infomalay12.blogspot.com


Tunjuk isyarat 'peace' selepas kebas motosikal


Tindakan pencuri menunjukkan isyarat ‘peace’ semasa mencuri motosikal miliknya di parkir Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Semambu, di sini Rabu lalu, di sifatkan biadab dan kurang ajar.

Mohd Fahmi Abdul Hadi, 20, berkata, isyarat tersebut dilihatnya semasa menyaksikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi mengesan kehilangan motosikalnya. 

Menurutnya, dia menyedari kehilangan motosikal itu pada jam 1 tengah hari ketika ingin pulang ke rumah sewanya di Taman Datuk Rashid, di sini, sebaik saja selesai kuliah.

“Saya terkejut selepas dapati motosikal saya hilang dan meminta bantuan pengawal keselamatan untuk lihat CCTV.

“Apa yang saya paling geram suspek sempat menunjukkan isyarat berkenaan ketika menunggang motosikal sambil keluar dari Polisas,” katanya.

Jelasnya, sebelum kecurian itu berlaku, dua lelaki berpakaian gelap dilihat mundar-mandir di tempat letak motosikal.

“Motosikal saya itu belum lagi tukar nama dibeli pada tahun 2016 dan hutangnya masih lagi ada di bank dan digunakan untuk ulang-alik ke tempat belajar.

“Saya percaya dan tak menolak kemungkinan suspek orang sama yang melakukan dua kes. Ada saksi yang sempat melihat memberitahu suspek pantas melakukan jenayah berkenaan walaupun tayar motosikal ketika itu berkunci,” katanya.

Katanya, sehingga kini, dia masih lagi berusaha mengesan motosikal berkenaan dan percaya suspek masih berada di bandar ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Abdul Aziz Salleh mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kehilangan dua motosikal milik mangsa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.


Subscribe to receive free email updates: