Penduduk Felda Jengka 2 di sini telah menganjurkan aktiviti perarakan bermotosikal Semarak Kasih Merdeka, semalam sempena sambutan kemerdekaan.
Pengurus Felda Jengka tersebut, Mohd Amizi Mat Ghani berkata, setiap tahun sambutan kemerdekaan diraikan dengan pelbagai aktiviti terutamanya perarakan kenderaan bermotor.
Menurutnya, penduduk telah berkumpul di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seawal jam 8 pagi untuk memulakan perarakan sekeliling Felda Jengka 2.
“Selain perarakan, aktiviti dimulai dengan penjurian serta pemarkahan bagi segmen pertandingan motosikal berhias yang bertemakan merdeka. Ia diadili oleh saya sendiri, Pegawai Felda, Mohd Hafiz Awang dan Ahli JKKK Felda Jengka 2, Haji Muhamad Abas Ibrahim.
“Usai perarakan dan penjurian, program diteruskan dengan Ziarah Kasih Merdeka di mana sepanjang perarakan kami singgah di lapan rumah penduduk kampung yang uzur dan sakit untuk menyampaikan sedikit bantuan dan sumbangan daripada Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Felda.
“Alhamdulillah di samping menghayati erti kemerdekaan, kita juga dapat mengajak komuniti setempat untuk menghargai dan menziarahi mereka yang sakit yang tidak dapat bersama-sama kita meraikan program bersejarah ini,” katanya ketika ditemui di Dewan JKKK, di sini.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Jengka tersebut, Roslan Tan yang juga Ahli Jawatankuasa Pengelola majlis berkata, program merupakan anjuran PDM Felda Jengka 2 dengan kerjasama Felda serta komuniti.
Tidak terhenti setakat itu, katanya acara kemuncak iaitu pengumuman pemenang bagi pertandingan motosikal berhias serta hadiah patriotik akan diadakan pada sebelah malam di lokasi sama.
“Dalam pada itu kita turut melangsungkan pertandingan karaoke lagu patriotik dan lagu pilihan untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan serta menghargai kemerdekaan,” katanya.
Kibar bendera tanda keluhuran
Veteran Felda Jengka 2 yang juga tulang belakang jawatankuasa pengelola majlis, Musa Ali, 67, turut menyampaikan ceramah ringkas Penghayatan Kemerdekaan kepada tetamu yang hadir, dengan menekankan bahawa sambutan kemerdekaan amat penting sebagai tanda rakyat yang cintakan negara.
Menurutnya, penduduk perlu mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan dan rumah sebagai tanda keluhuran terhadap perlembagaan negara, serta memberikan taat setia kepada negara dan pemimpinnya.
Peserta perarakan ketika dalam perjalanan singgah di salah sebuah rumah daripada lapan penerima sumbangan.
“Saya berumur tujuh tahun ketika pertama kali kalimat merdeka dilaungkan. Ketika itu saya di Terengganu dan berpeluang menyambut merdeka di pinggir-pinggir jalan bersama penduduk kampung.
“Hanya ALLAH yang tahu betapa bersyukur kami yang mendengar khabar kemerdekaan. Justeru sebab itulah setiap tahun, saya akan dan mahu jadi orang pertama mengibarkan bendera pada rumah dan motor. Saya mahu, generasi masa kini khususnya muda mudi Felda Jengka 2 ikut sama-sama melakukannya. Kalau bukan kita, siapa lagi yang sayangkan negara?,” katanya.
Dua jam hias motosikal
Sementara itu, seorang peserta perarakan dan pertandingan motosikal berhias, Syerin Intan Syakila Zainudin, 28, berkata, dia mengambil masa dua jam untuk menghias motosikal.
“Semuanya idea spontan saja dengan bantuan suami, kakak serta ahli keluarga. Dari segi pakaian pula, baju saya dan anak-anak saya tempah dengan tukang jahit manakala tudung saya jahit sendiri.
“Mulanya saya ke Bandar Pusat Jengka untuk beli bendera tapi banyak kedai pergi bendera habis. Sampai saya terpaksa cari di daerah lain.
“Saya harap tahun-tahun akan datang, PDM dan Felda anjurkan lagi dengan lebih banyak hadiah untuk tarik ramai pengunjung,” katanya.