Imej via Berita Harian |
Usul itu antara cadangan yang dikemuka pada Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP ke-21, di sini.
Mengulas perkara itu kepada pemberita hari ini, Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak berkata, kod etika dilihat semakin perlu berikutan kecenderungan ibu bapa sekarang yang gemar menyerang guru apabila tidak berpuas hati dengan tindakan dikenakan kepada anak mereka.
Ini katanya menyebabkan kebanyakan guru keberatan mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar bermasalah.
"Kadang-kadang isu kecil sahaja, sepatutnya mereka bersikap profesional dan bertemu dengan pengetua dahulu, tetapi mereka terus menyerang guru," katanya.
Beliau yang mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menggubal kod etika itu, berkata kod serupa wujud di kebanyakan negara maju seperti Sweden.
Pada persidangan empat hari sehingga esok itu, 191 perwakilan yang hadir turut membincangkan isu Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) gelombang dua yang kurang difahami guru-guru berikutan penerangan yang kurang jelas.
Justeru, katanya NUTP mencadangkan supaya Jemaah Nazir mengadakan bengkel penerangan di seluruh negara berhubung garis panduan pelaksanaan SKMP gelombang dua itu.
Turut dibangkitkan, waktu persekolahan yang tidak seragam dengan perwakilan meminta semua sekolah mematuhi pekeliling waktu rasmi persekolahan pada 7.40 pagi.
"Ada sekolah yang mula pada 7.15 pagi menyebabkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah terlalu awal… yang tiba pada jam 6.30 pagi pun ada dan tiada siapa yang menjaga mereka," katanya.
Kamarozaman berkata, persidangan turut membincangakan isu penstrukturan semula Kementerian Pendidikan bagi memberi lebih autoriti kepada jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah (PPD) dalam membuat keputusan.
Katanya, NUTP meminta pihak kementerian memberi penjelasan terperinci mengenai penstrukturan tersebut dan merujuk kepada kesatuan sebelum menstrukturkan sebarang perjawatan terutama di peringkat PPD.
"Kalau boleh, kita mahu perjawatan di PPD disandang oleh guru sendiri dan bukan orang luar kerana guru lebih memahami selok-belok pentadbiran di sekolah," katanya.
Di samping itu, katanya NUTP turut mengambil berat isu kekurangan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah dengan nisbah seorang guru kepada 350 murid bagi sekolah rendah dan seorang guru untuk 500 pelajar bagi sekolah menengah.
"Di sesetengah sekolah, guru biasa dilantik sebagai guru bimbingan jika guru bimbingan dan kaunseling tidak mencukupi. Ini sepatutnya tidak berlaku kerana seorang kaunselor perlu mendapat latihan yang mencukupi bagi menangani pelajar bermasalah," katanya.
Justeru, Kamarozaman berkata, jumlah guru kaunseling di sekolah perlu ditingkatkan kepada 1:200 bagi menghidupkan bidang kaunseling di sekolah. - Bernama