Caj RM50 satu Kerusi untuk Lepak MAMAK Tengok Bola, Biar Betul? infomalay12.blogspot.com

Gambar Hiasan: Kedai Mamak
Kehabisan tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Thailand pada malam ini tidak melemahkan semangat penyokong pasukan negara.

Walaupun berpeluang untuk mendapatkannya daripada ulat tiket, tetapi harga yang dijual ‘cekik darah’ sehingga ratusan ringgit.

Rata-rata penyokong bola sepak tanah air memilih restoran mamak sebagai lokasi kedua terbaik selepas Stadium Shah Alam untuk menonton perlawanan yang bakal menyaksikan ibu segala pingat Sukan SEA.

Seorang netizen membuat tawaran RM50 hanya untuk satu tempat duduk di meja makan di sebuah restoran mamak di Bandar Kinrara, Puchong.

Kedudukan meja yang sangat strategik, di mana setiap pergerakan bola dapat dilihat dengan jelas, ditambah dengan bunyi ‘speaker’ (pembesar suara) yang kuat. Sesiapa yang berminat nak duduk semeja, boleh PM (mesej peribadi) saya dan saya akan bagi butiran akaun. Setelah anda ‘bank-in’, sila whatsapp resit bayaran untuk dapatkan kata laluan ketika hendak duduk di meja tersebut. Hanya RM50 satu kerusi. Cepat, sementara stok masih ada,” katanya.


Tawaran yang dibuat seorang netizen tular di laman sosial.

Bagaimanapun Mohamad Sharizat Mat Jusoh berkata, tawaran yang dibuat itu sekadar gurauan selepas kekecewaannya bersama rakan-rakan lain tidak mendapat tiket untuk menyaksikan perlawanan di stadium.

Pemuda berusia 27 tahun ini memberitahu, salah seorang daripada rakan mereka pulang dari stadium dengan tangan kosong apabila tiket bola habis dijual.

“Kawan saya mula beratur sejak pukul 7 pagi semalam (Isnin), tapi tak sangka ada yang dah beratur dari awal pagi lagi. Sudahnya, kami semua tak dapat tiket.

“Nampaknya kenalah tengok di restoran mamak. Semalam pergi tempah tiga meja untuk tengok bola malam ni,” katanya kepada mStar Online sambil menambah merancang untuk menonton aksi final itu bersama tujuh rakannya.

Mengenai tawaran RM50 untuk satu kerusi, Sharizat berkata, setakat ini tiada netizen yang berminat kerana mereka dapat menganggap ia hanya satu gurauan.

“Nak kata mereka sanggup beli daripada ulat tiket pun, tak juga. Sebab harga tiket yang dijual tak masuk akal. Lebih baik tengok bola di rumah.

“Lagipun, banyak lagi restoran mamak yang tayangkan perlawanan malam ni. Skrin layar besar, bunyi kuat ada sorakan penyokong juga nanti macam dalam stadium,” katanya.

Sementara itu, satu lagi promosi untuk 100 pelanggan pertama di sebuah restoran mamak di Bangi akan mendapat minuman teh tarik secara percuma, bagi memberi semangat buat penyokong skuad negara.

“Tiket bola dah habis? Alah, tengok restoran lagi syok beb. Boleh makan! Ada teh tarik ‘free’ lagi tu,” menurut satu ‘posting’ yang kini tular di laman sosial.


Antara tarikan untuk menghangatkan lagi suasana menonton perlawanan aksi Malaysia-Thailand di restoran mamak.

Seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Ustaz Nu’man berkata, tarikan itu merupakan anjuran Pemuda Amanah Serdang. 

“Kami saja nak memeriahkan suasana buat penyokong bola sepak yang datang ke restoran mamak ni seawal pukul 8.15 malam.

“Mereka akan diberikan kupon sekiranya mahu memesan teh tarik. Jadi pihak kami akan membayar berdasarkan jumlah kupon yang dikumpul di kaunter,” katanya yang memilih untuk menonton di restoran mamak kerana faktor masa ke stadium.

Malaysia mara ke pusingan akhir selepas menundukkan Indonesia 1-0 pada aksi separuh akhir pada Sabtu malam manakala Thailand turut mara setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Aksi final Malaysia-Thailand dijadualkan pada pukul 8.45 malam ini di Stadium Shah Alam.

-mstar

Subscribe to receive free email updates: