[BERA] SEPAKAT DEMI MISI MURNI infomalay12.blogspot.com


Sepakat demi misi murni


Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) akan terus bergandingan dengan Jaringan Anak Bera Sepakat (Jabat) untuk menjejaki golongan masyarakat kurang bernasib baik sebagai usaha membantu mengurangkan bebanan ditanggung mereka.

Pengerusi MBFM Wilayah Mempaga, Azril Ramli berkata, selepas meneliti pandangan orang ramai yang beranggapan MBFM hanya sesuai memainkan peranan di kawasan tanah rancangan Felda sahaja, pihaknya bersetuju mendaftarkan pertubuhan baharu itu (Jabat) bagi melancarkan aktiviti mereka di kawasan perkampungan tradisional, Orang Asli dan kawasan taman perumahan.

Menurutnya memandangkan Jabat ini masih baharu, masih ramai belum mengenalinya terutamanya dalam kalangan belia dan aktiviti ini merupakan platform terbaik untuk menonjolkan kepimpinan belia di daerah ini.

“Bagi saya, MBFM memang berperanan terhadap belia-belia generasi Felda dan tak semestinya generasi Felda ini tinggal di Felda. Ada juga yang tinggal di kawasan luar Felda kerana tuntutan kerja atau menetap di tempat asal pasangan mereka.

“Jadi, kalau MBFM datang ke kawasan luar Felda tidak lah salah cuma pandangan orang beranggapan begitu. Jadi, saya harap dengan adanya Jabat ini, masyarakat tidak memandang serong dengan matlamat kami,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Ukhwah di sini bersama Adun Kemayan, Dato'  Mohd Fadil Osman.

Azril berkata, menerusi program ini MBFM atau Jabat tidak hanya menumpukan golongan belia semata-mata, tetapi juga dalam kalangan peneroka dan penerokawati.

Katanya, kehadiran mereka sekadar memberikan semangat kepada mereka yang dikunjungi dan menyampaikan sumbangan sebagai tanda peringatan.

“Apa yang diberikan bukan besar, cuma ini tanda ingatan kami (belia) kepada mereka. Lagipun, saya mahu masyarakat tahu, masih ada belia yang prihatin dengan golongan terbabit,” kata beliau.

Pertama kali dikunjungi belia

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Maimunah Harun, 70, berkata, sebelum ini ada sahaja pihak-pihak tertentu mengunjungi dan menziarahinya namun pertama kali menerima kunjungan daripada golongan belia.

Katanya, apa yang dilakukan MBFM sangat bagus kerana ia mengingatkan kepada golongan belia pada awal kemasukannya di tanah rancangan ini.

“Dulu, yang masuk jadi peneroka semuanya orang muda. Masa tu, semuanya sepakat dan saling membantu antara satu sama lain. Tapi, lama-kelamaan semangat itu pudar sebab masing-masing sudah ada tanggungjawab lain.

“Jadi bila lihat anak-anak muda kembali macam dulu, makcik gembira. Harap lebih ramai anak muda yang begini, jangan hanya buat hal sendiri saja,” katanya.

Maimunah mengidap diabetes beberapa tahun lalu menyebabkan kakinya terpaksa dipotong dan sedang berusaha mendapatkan bantuan kewangan melalui Pusat Zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Masih ada rasa tanggungjawab

Seorang penerima, Hamid Talib, 52 berkata, kehadiran anak-anak belia ke rumahnya sekurang-kurangnya memberikannya keyakinan bahawa generasi belia Felda masih mempunyai perasaan tanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling.

Katanya, sekarang terlalu banyak hal-hal yang tidak bermoral membabitkan golongan belia termasuk belia Felda dan keadaan ini membimbangkan.

Menurutnya, sekurang-kurangnya apabila belia aktif dengan aktiviti seumpama ini mereka tidak membazirkan masa dengan perkara-perkara yang sia-sia.

“Saya harap mereka (MBFM dan Jabat) boleh mengembalikan kegemilangan belia, bukan sahaja di Felda tapi di seluruh kawasan di daerah ini. Belia adalah pelapis pemimpin akan datang. Kalau mereka tak boleh nak tonjolkan diri sebagai pemimpin, sudah pasti keadaan ini membimbangkan,” katanya.

Hamid yang juga menghidap penyakit diabetes turut menerima sumbangan berbentuk bekalan makanan yang disampaikan Azril.


Subscribe to receive free email updates: