[#AUDIT2016] 32 si mati di Perlis terima bantuan RM100-RM300 infomalay12.blogspot.com

Pengurusan rekod tidak memuaskan menyebabkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlanjur memberi bantuan bulanan kepada 32 penerima yang sebenarnya sudah meninggal dunia, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016.
Ia melibatkan penerima yang sudah meninggal dunia pada 2015, dan 32 pada 2016, dengan jumlah bantuan yang diberikan RM20,610, kata laporan itu lagi.
“Ia berlaku kerana waris tidak memaklumkan kematian penerima, dan JKM tidak menghentikan bantuan walaupun maklumat itu ada diterima menerusi sistem myIDENTITY.
“Pada pendapat Audit, pengurusan rekod dan maklumat penerima bantuan kurang memuaskan. Maklumat kematian yang diterima menerusi myIDENTITY tidak digunakan dengan segera untuk menghentikan pembayaran,” kata laporan itu yang dikeluarkan semalam.
Bantuan am biasanya pada kadar RM100–RM300 sebulan dan diberikan kepada keluarga yang berpendapatan tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan iaitu RM830 sebulan, serta golongan sasaran lain seperti ibu tunggal, orang kelainan upaya dan pesakit kronik.
Ekoran itu, JKM pada 6 Januari lalu mengarahkan Unit Kewangan mengeluarkan mereka daripada senarai penerima bantuan.
Menurut laporan itu, JKM juga mengeluarkan surat tuntutan bayaran balik kepada semua waris penerima pada Februari lalu.
Selain itu, Jabatan Audit Negara mendapati JKM Perlis memberikan bantuan am bulanan kepada seorang warga asing berstatus penduduk tetap, yang menurutnya tidak sepatutnya berlaku.
“Beliau telah diluluskan bantuan am RM100 sebulan pada 14 November 2002. Ini berlaku kerana JKM tidak membuat siasatan terperinci ketika meluluskan permohonan.”
JKM Negeri menghentikan bantuan itu bermula Mac lalu.
Antara kelemahan lain pemberian bantuan am JKM Negeri yang dinyatakan laporan itu adalah pemberian 2 kali kepada penerima sama, penerima yang berpendapatan melebihi paras garis kemiskinan dan penerima dengan nombor kad pengenalan merujuk kepada nama lain. - FMT

Subscribe to receive free email updates: