Warga Felda masih sokong BN? infomalay12.blogspot.com

PELBAGAI isu kontroversi yang melanda Felda sejak kebelakangan ini benar-benar memalukan kerajaan dan Felda sendiri.
Malahan harga minyak kelapa sawit yang terus jatuh sejak 2014 telah mendorong peneroka tidak tidur lena.
Ramai menyalahkan kerajaan kerana tidak mengekang harga komoditi ini daripada terus menjunam sehingga pendapatan mereka makin berkurangan.
Ketika keluhan peneroka belum selesai, timbul pula kecelaruan membabitkan pengurusan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), lebih-lebih lagi terbongkarnya kes penyelewengan di peringkat tertinggi.
Saham FGV jatuh teruk. Daripada nilai pasaran RM10.5 bilion pada tahun 2012 telah menjunam tinggal hanya RM5.6 bilion pada 31 Disember tahun lalu.
Terbaru, isu penyelewengan sekali lagi tercetus dalam dunia Felda. Kali ini membabitkan Felda Investment Corporation (FIC) pula. 
Berdasarkan maklumat siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), FIC dipercayai membeli sebuah hotel empat bintang di Kensington, London antara tahun 2013 dan 2015 dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga asal menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.
Apabila berlakunya isu penyelewengan dan rasuah dalam Felda dan ditambahkan pula masalah peneroka yang sedia ada, apakah BN masih lagi boleh mendabik dada bahawa Felda tetap kubu kuat mereka?
Bagaikan ingin menutup kesilapan sendiri dan menggembirakan warga Felda, enam insentif baharu yang bernilai hampir RM1.6 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menunjukkan detik semakin hampir tiba untuk membubarkan parlimen.
Tidak dinafikan kawasan penempatan Felda menjadi kubu kuat BN. Pemimpin-pemimpin pembangkang yang cuba meraih sokongan daripada pengundi Felda ternyata gagal membuahkan hasil.
Ketika PRU 14 semakin hari semakin dekat, pemberian enam insentif ini mampu mengukuhkan lagi kekuatan BN di kawasan-kawasan Felda. Enam insentif yang menarik ini turut mampu menangkis pembangkang yang dikatakan mulai aktif bergerak di kawasan kampung-kampung Felda sejak kebelakangan ini.
Daripada 222 kerusi parlimen di seluruh negara, 54 adalah penempatan Felda. Pada PRU lalu, BN memenangi 48 kerusi manakala pembangkang enam.
Maka tidak hairanlah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada awal Mac lalu meminta warga Felda terus memberi sokongan kepada BN dengan merampas semula enam kerusi parlimen milik pembangkang itu.
Bagi pembangkang, peluang untuk calon mereka menang di kawasan bandar tidaklah sukar.
Sebaliknya, usaha untuk memenangi hati pengundi di kawasan luar bandar, terutama sekali di kawasan Felda, kalau cuba hendak dapat undi dengan berceramah siang dan malam, itu bukan caranya.
Untuk menawan Putrajaya, Pakatan Harapan mesti memikirkan bagaimana memperoleh sekurang-kurangnya tambahan 30 peratus pengundi Felda, BN barulah mampu ditumbangkan. Angka ini nampak sukar dicapai, tetapi sebarang kemungkinan tetap boleh berlaku.
Pakatan Harapan, lebih-lebih lagi Bersatu di bawah pimpinan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bantuan PKR dan Amanah cuba melakukan misi getir lagi mustahil ini.
Pemimpin-pemimpin Bersatu dilaporkan memasuki ke kawasan-kawasan Felda yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin pembangkang sebelum ini.
Ia dikatakan sebagai cubaan berani mendapatkan sokongan daripada pengundi Felda, terutama sekali generasi baharu di situ.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :